Israel serang petugas kecemasan bantu mangsa cedera di Gaza

Israel serang petugas kecemasan bantu mangsa cedera di Gaza

PENDUDUK Palestin berlari mencari perlindungan ketika Israel membedil kawasan kediaman di Jabalia, utara Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Penduduk Palestin di Bandar Gaza terus diserang tentera Israel ketika rejim bersiap sedia untuk melancarkan serangan besar-besaran dengan tujuan menguasai dan melakukan pembersihan etnik di kawasan tersebut.

Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmoud Basal memberitahu Al Jazeera, tentera Israel sengaja melepaskan tembakan ke arah kenderaan kecemasan yang cuba menyelamatkan mangsa cedera di kawasan kediaman Zeitoun, kelmarin.

Pada masa sama, helikopter Israel turut menjatuhkan risalah mengancam pemindahan paksa penduduk di kawasan tersebut.

Penduduk diarah meninggalkan beberapa bahagian di kawasan timur itu, di mana ratusan rumah baru-baru ini musnah.

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum melaporkan dari Deir el-Balah berkata, Israel menggunakan artileri berat, dron dan jet pejuang, dengan empat kawasan perumahan di Bandar Gaza berdepan serangan tanpa henti ketika tentera giat meneruskan rancangannya.

Beliau berkata, tindakan itu merupakan ‘pemusnahan sepenuhnya’ kehidupan sivik untuk memastikan orang awam tidak dibenarkan kembali ke kawasan tersebut.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendesak untuk menguasai pusat bandar terbesar di Gaza dan memaksa pemindahan ratusan ribu rakyat Palestin ke zon tumpuan, walaupun mendapat kritikan meluas daripada antarabangsa.

Di tengah laporan mengenai pembunuhan berterusan Israel, Al Jazeera Arabic melaporkan seorang wanita di kawasan Tuffah berjaya mengeluarkan mayat abangnya dan bapanya daripada runtuhan sebuah bangunan yang dibom.

Wanita itu berkata, mayat tersebut tersepit bersama 31 mangsa lain sejak serangan udara yang berlaku 46 hari sebelumnya, dianggarkan pada akhir Jun lalu.

“Apa yang kami hadapi terlalu berat. Banyak penyeksaan dan penindasan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×