KUALA LUMPUR: Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ijazah kehormat tersebut telah disampaikan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Naib canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh mengucapkan tahniah kepada Dr. Muhammad atas dedikasi luar biasa beliau dalam memajukan pembangunan sosial serta sumbangan besar yang telah membawa perubahan kepada Bangladesh.
“Beliau merupakan contoh teladan kepimpinan transformasi yang berteraskan integriti, tadbir urus yang baik, serta keyakinan beliau bahawa ekonomi hanya kukuh apabila ia memenuhi keperluan semua pihak.
“Usaha ini diiktiraf bukan sahaja oleh rakyat Bangladesh, malah oleh masyarakat antarabangsa, sehingga beliau dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 2006,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pidato umum di Majlis Konvokesyen Khas Penganugeraban liazab Kehormat Doktor Falsafah (Perniagaan Sosial) kepada Dr. Muhammad di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani di sini, hari ini.
Tambah Sufian, hubungan beliau dengan UKM telah diperkukuh melalui penubuhan Yunus Centre for Social Business di UKM yang berperanan mempromosi perniagaan sosial di Malaysia dan rantau ini.
“Muhammad Yunus merupakan seorang tokoh ekonomi dan kemanusiaan bertaraf dunia, terkenal sebagai pengasas Grameen Bank dan pelopor konsep mikro kredit serta perniagaan sosial.
“Beliau juga telah menerima 67 ijazah kehormat dari universiti di 26 buah negara dan telah muncul di muka depan majalah TIME, Newsweek dan Forbes.
“Malah, beliau turut dinamakan oleh majalah Fortune sebagai salah seorang usahawan terhebat sepanjang zaman pada tahun 2012,” katanya.
Sementara itu, Dr. Muhammad turut menyampaikan syarahan umum yang menekankan golongan muda agar tidak hanya mencari pekerjaan, sebaliknya mencipta peluang baharu demi membasmi kemiskinan dan pengangguran.
Beliau turut berkongsi visi Tiga Sifar iaitu sifar kemiskinan, sifar pengangguran dan sifar pelepasan karbon, selain menekankan kepentingan kerjasama erat Bangladesh–Malaysia dalam bidang ekonomi, teknologi dan pendidikan. – UTUSAN










