PETALING JAYA: Datuk Seri Rafizi Ramli menegur tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengajak murid-pelajar sekolah menyampaikan ucapan sempena hari ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sekolah seharusnya kekal bebas daripada unsur politik atau pandangan peribadi, dan tidak wajar dijadikan platform untuk menyatakan sokongan kepada mana-mana pemimpin.
“Sekolah adalah tempat yang sangat penting. Ia bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga membentuk budaya dan sikap,” katanya menerusi rakaman video di Facebook hari ini.
Rafizi berkata, walaupun Menteri Pendidikan mempunyai rasa hormat terhadap Perdana Menteri, pelajar tidak sepatutnya dilibatkan dalam bentuk pernyataan taat setia atau pujian politik.
“Kalau dia sangat cintakan PMX (Anwar) dan mahu buktikan kesetiaan, cukup dengan ucapan daripada beliau sendiri. Tidak perlu libatkan murid-murid,” katanya.
Bekas Menteri Ekonomi itu turut melahirkan kebimbangan sekiranya tindakan seperti ini menjadi kelaziman pada masa hadapan apabila menteri lain turut menggunakan sekolah bagi menunjukkan sokongan kepada pemimpin politik tertentu. – UTUSAN










