Israel tidak peduli kritikan dunia, tekad 'rampas' Gaza

Israel tidak peduli kritikan dunia, tekad ‘rampas’ Gaza

SEORANG lelaki Palestin duduk di sebelah runtuhan bangunan selepas serangan Israel di Pusat Kesihatan Sheikh Radwan yang dikendalikan UNRWA di utara Bandar Gaza, pada Khamis lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Israel menolak keras kritikan daripada pemimpin dunia selepas Kabinet Keselamatan negara haram itu meluluskan rancangan untuk menguasai sepenuhnya Semenanjung Gaza.

Menteri Pertahanan, Israel Katz menegaskan, negara-negara yang mengecam dan mengancam untuk mengenakan sekatan tidak akan melemahkan tekad mereka untuk ‘merampas’ Gaza.

“Musuh akan mendapati kami sebagai satu genggaman yang kuat dan bersatu untuk menghentam mereka dengan hebat,” katanya.

Pelan yang diluluskan itu menyenaraikan lima ‘prinsip’ untuk menamatkan perang iaitu melucutkan senjata Hamas, mengembalikan semua tebusan, memusnahkan Semenanjung Gaza, mengambil alih kawalan keselamatan wilayah dan menubuhkan pentadbiran awam alternatif tanpa penglibatan Hamas serta Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Laporan media Israel mendakwa, pelan tersebut akan memberi tumpuan kepada pengambilalihan penuh Bandar Gaza dan memindahkan kira-kira sejuta penduduknya ke selatan.

Pasukan keselamatan juga akan mengawal kem pelarian di tengah Gaza dan kawasan yang dipercayai menempatkan tebusan.

Serangan kedua akan dijalankan beberapa minggu kemudian, bersamaan dengan peningkatan bantuan kemanusiaan, menurut laporan.

Bagaimanapun, pelan itu mencetuskan kecaman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Perancis dan Kanada, serta menyebabkan Jerman menghentikan eksport ketenteraan ke Israel.

Langkah itu juga ditentang hebat oleh beberapa pihak dalam Israel, termasuk pegawai tentera dan keluarga tebusan yang ditahan di Gaza.

Kelmarin, Menteri Luar UK, Jerman, Itali, New Zealand dan Australia bersepakat menolak pelan itu dalam satu kenyataan bersama, dengan memberi amaran langkah Israel akan ‘memperburuk’ lagi keadaan Gaza yang sudah berlaku bencana.

Ketika ini, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menguasai kira-kira tiga perempat Gaza, manakala hampir keseluruhan 2.1 juta penduduknya berada di baki kawasan yang belum ditawan.

PBB menganggarkan 87 peratus Gaza kini berada di zon ketenteraan atau di bawah arahan pemindahan.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×