KEHADIRAN Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, dalam mesyuarat ASEAN di Kuala Lumpur bukan sekadar lawatan diplomatik rutin, sebaliknya merupakan isyarat jelas yang Washington tidak lagi bersedia bertolak ansur dengan sikap berkecuali, menumpang dan enggan membuat pilihan. Ini adalah sikap yang telah lama mencengkam rantau ini.
AS kekal sebagai kuasa utama di rantau Indo-Pasifik dalam hampir semua aspek kuasa dan kini ASEAN berdepan cabaran besar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai pihak berkecuali dalam landskap kuasa yang semakin mencabar ini.
Lawatan Rubio mencerminkan misi jelas: menghidupkan semula pengaruh kuasa secara strategik di rantau ini dan memulihkan keseimbangan kuasa yang semakin terhakis akibat pengaruh Beijing.
Ia hadir tepat pada waktunya ketika sebahagian besar negara ASEAN dilihat semakin condong kepada China untuk pelaburan, suntikan modal dan keuntungan jangka pendek, sambil memanfaatkan payung keselamatan Washington.
AS memerlukan sokongan rantau ini dalam memperkukuh keselamatan sumber kritikal dan masih memegang ‘kad tawar-menawar’ sebagai kuasa pertahanan utama yang diperlukan oleh kebanyakan negara rantau ini bagi memenuhi tuntutan keselamatan mereka.
Washington masih boleh memainkan strategi balas berasaskan quid pro quo yang melangkaui soal tarif semata-mata, dengan menggunakan pengaruh kuasa ketenteraan, tetapi ini belum dilaksanakan sepenuhnya kerana menyedari Beijing boleh mengambil kesempatan.
Kehadiran Rubio dilihat sebagai langkah bijak dalam mengekalkan keseimbangan bagi memaksa negara-negara serantau meningkatkan usaha masing-masing untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan, mengehadkan kebergantungan ekonomi terhadap China dan BRICS, sambil memberi ruang dan masa untuk mereka menunjukkan keikhlasan melalui rundingan serta peringatan kelebihan tarif dinikmati Washington sahaja boleh membawa kesan besar kepada ekonomi rantau ini, apatah lagi kuasa dan jaminan pertahanan AS yang boleh digunakan sebagai ‘kelebihan rundingan’.
PENDEKATAN BAHARU AS
Pendekatan baharu Washington juga menyekat ruang lebih lanjut kepada Beijing untuk menguasai rantau ini. Dalam masa sama menghantar mesej kehadiran AS telah kembali walaupun dengan tumpuan konflik di Asia Barat dan Eropah, sambil memastikan ASEAN tidak terus beralih ke orbit China dan terjerumus dalam naratif anti-AS yang dipelopori Beijing.
Washington kini menuntut perkongsian beban yang lebih adil, terutamanya komitmen sekutu lain dalam sektor pertahanan serta memperbaiki keselarian serta keseimbangan tarif dan perdagangan.
Rantau ini tidak boleh terus bergantung kepada sistem keselamatan AS sambil berselindung di sebalik retorik konsep berkecuali dan mempromosi kerjasama dengan blok seperti BRICS yang jelas mempunyai agenda anti-Barat.
Rantau ini sudah lama mengekalkan model pengimbangan risiko berbaik dengan semua, namun tidak berpihak.
Realitinya, ASEAN terlalu lama bergantung kepada China dari segi perdagangan dan infrastruktur sambil terus memerlukan AS untuk jaminan keselamatan. Keadaan ini tidak mampan untuk masa hadapan ASEAN, lebih-lebih lagi dengan percaturan baharu geopolitik dan ketegangan serantau. Washington tidak lagi sudi memberi perlindungan tanpa pulangan.
Pentadbiran Trump jelas dalam mesejnya: dunia perlukan AS lebih daripada sebaliknya. Maka, bukan sahaja tarif akan diketatkan ke atas negara yang enggan bekerjasama secara adil, bahkan jaminan keselamatan juga tidak akan diberi tanpa komitmen.
Negara-negara yang enggan meningkatkan komitmen perbelanjaan pertahanan atau menjalin kerjasama teknologi kritikal dan jaminan kepentingan sektor rantaian bekalan penting akan dilihat sebagai beban, bukan rakan strategik.
Beijing kini berdepan perangkap demografi dan ekonomi. Populasinya terjurus ke arah kadar penuaan yang tinggi, ekonominya perlahan dan kebergantungannya kepada eksport tidak dapat menyokong impian dominasi global. ASEAN pula masih terperangkap dalam perangkap pendapatan sederhana dan kekurangan inovasi struktur. Kedua-duanya akan terus bergantung kepada AS sebagai pasaran dan pemain teknologi utama pada tempoh terdekat.
Jika ASEAN terus kekal dengan retorik pendekatan konvensional dan jalinan dengan sistem alternatif termasuk BRICS, ia bukan sahaja menggugat keyakinan pelabur Barat, malah berisiko dikenakan tarif tambahan serta sekatan strategik.
ASEAN, dan khususnya Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, perlu terus menyuntik nafas baharu dalam pendirian dan percaturan ASEAN.
HALUAN BAHARU ASEAN
ASEAN perlu mengambil kira realiti strategik baharu ini. Menyimpan ilusi China akan menggantikan peranan AS sebagai pelindung atau penaja pembangunan masih menjadi norma kepercayaan. Namun, ia hanya akan mencetus kebergantungan mendalam yang mengundang risiko lebih tinggi, termasuk dalam konteks kemungkinan konflik ke atas Taiwan, di mana Laut China Selatan bakal menjadi medan pertempuran kedua dan ASEAN akan menjadi barisan hadapan dalam konflik tersebut. Dalam masa sama ketersediaan serantau masih lemah dan berpecah.
Jika konflik meletus, semua perjanjian damai dan kerjasama seperti Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), Kod Tatalaku (CoC) atau Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) akan menjadi tidak relevan.
ASEAN tidak mempunyai kapasiti pencegahan tahap pertama dan kedua. Sistem pertahanan udara lemah, kemampuan siber dan ruang angkasa jauh ketinggalan serta kebergantungan kepada kuasa luar mutlak, terus menjadi kelemahan asas yang masih tidak boleh ditangani. Tanpa Washington, rantau ini akan kekal terdedah dan terancam.
ASEAN mesti keluar dari ilusi berkecuali yang telah merugikannya selama ini dan realiti baharu ini menyaksikan AS tidak menuntut kesetiaan membuta tuli. Apa yang dimahukan di bawah Trump adalah kesungguhan untuk turut berkongsi beban dalam jurusan perdagangan dan aspek tanggungan keselamatan, dalam mempertahankan nilai bersama iaitu kebebasan, keterbukaan dan aturan antarabangsa yang berlandaskan undang-undang.
Jika ASEAN gagal bertindak sekarang, peluang ini akan hilang. Dan apabila AS berpaling dan tidak berfokus kepada rantau ini di bawah Trump dengan alasan tindak balas serantau masih menidakkan peranan dan pengaruh Washington, maka tiada kuasa lain yang mampu mengisi kekosongan itu. Tidak BRICS, tidak Russia, tidak China.
Masa hadapan rantau ini masih bergantung kepada jaringan sokongan dan payung keselamatan, pasaran, ekonomi serta teknologi Washington.-UTUSAN
COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya.










