LONDON: Pakar memberi amaran dunia berdepan satu krisis plastik yang menyebabkan penyakit dan kematian dari peringkat bayi sehingga ke usia lanjut serta menyumbang kepada kerugian kesihatan global sekurang-kurangnya AS$1.5 trilion (RM6.35 trilion) setiap tahun.
The Guardian melaporkan, satu ulasan kumpulan pakar yang diterbitkan baru-baru ini menyimpulkan plastik merupakan bahaya besar, semakin meningkat dan kurang diberi perhatian terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
Punca utama krisis ini ialah peningkatan mendadak dalam pengeluaran plastik, yang melonjak lebih 200 kali ganda sejak tahun 1950 dan dijangka hampir tiga kali ganda lagi menjelang tahun 2060, mencecah lebih satu bilion tan setahun.
Walaupun plastik mempunyai banyak kegunaan penting, peningkatan paling ketara berlaku dalam pengeluaran plastik sekali guna seperti botol minuman dan bekas makanan segera.
Akibatnya, pencemaran plastik turut meningkat dengan mendadak. Sebanyak lapan bilion tan plastik mencemari seluruh planet, menurut laporan tersebut dari puncak Gunung Everest hinggalah ke dasar laut paling dalam. Kurang daripada 10 peratus plastik dikitar semula.
Plastik mengancam manusia dan alam sekitar pada setiap peringkat dari proses pengambilan bahan api fosil untuk menghasilkan plastik, hinggalah ke pengeluaran, penggunaan dan pelupusan, jelas laporan itu.
Kesan krisis ini termasuk pencemaran udara, pendedahan kepada bahan kimia toksik serta kehadiran mikroplastik dalam tubuh manusia.
Pencemaran plastik juga boleh meningkatkan risiko penyakit melalui pembiakan nyamuk kerana air yang terperangkap dalam sampah plastik menjadi tempat pembiakan yang ideal.
Ulasan ini diterbitkan dalam jurnal perubatan terkemuka The Lancet, menjelang pusingan keenam dan mungkin yang terakhir bagi rundingan antara negara-negara untuk merangka perjanjian plastik global yang mengikat secara undang-undang.
Rundingan itu berdepan cabaran besar susulan perbezaan pendirian antara lebih 100 negara yang menyokong had pengeluaran plastik dan negara pengeluar minyak.
The Guardian sebelum ini mendedahkan bagaimana pelobi industri plastik dan negara pengeluar minyak cuba menggagalkan rundingan itu.










