MOSCOW: Gunung berapi Krasheninnikov di Semenanjung Kamchatka, Russia, meletus buat kali pertama dalam tempoh lebih 450 tahun, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar geologi yang mengaitkannya dengan gempa bumi kuat yang melanda Timur Jauh Russia minggu lalu.
Menurut laporan agensi berita rasmi Russia, RIA Novosti, Ketua Pasukan Tindak Balas Letusan Gunung Berapi Kamchatka, Olga Girina berkata, letusan itu adalah yang pertama disahkan dalam catatan sejarah moden bagi Gunung Krasheninnikov.
“Ini adalah letusan pertama Gunung Krasheninnikov yang disahkan secara sejarah dalam tempoh 475 tahun,” katanya.
Sementara itu, gelombang tsunami dikhuatiri berlaku di tiga kawasan di Kamchatka selepas gempa bumi bermagnitud 7.0 melanda Kepulauan Kuril semalam.
“Ketinggian gelombang yang dijangka adalah rendah, namun anda tetap perlu menjauhkan diri dari kawasan pantai,” kata Kementerian Perkhidmatan Kecemasan menerusi aplikasi mesej Telegram, susulan aktiviti seismik terbaharu di kawasan tersebut.
Saintis Russia memberi amaran gegaran susulan yang kuat berkemungkinan berlaku di rantau itu dalam beberapa minggu akan datang.
Gempa itu juga disusuli letusan Gunung Klyuchevskoy, gunung berapi paling aktif di Kamchatka.
Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh media rasmi Russia menunjukkan gunung berapi Krasheninnikov memuntahkan kepulan abu tebal setinggi 6,000 meter ke udara.
Program Vulkanisme Global Institut Smithsonian berkata, kali terakhir gunung berapi tersebut meletus adalah pada sekitar tahun 1550.
Sejak itu, tiada letusan direkodkan sehinggalah kejadian terbaru ini.
“Awan abu itu kini bergerak ke arah timur, menuju ke Lautan Pasifik. Tiada kawasan penempatan berada dalam laluannya,” jelas kenyataan kementerian tersebut di Telegram.
Gunung Berapi Krasheninnikov mempunyai ketinggian sekitar 1,856 meter dan kini diklasifikasikan dengan kod penerbangan jingga, menandakan tahap ancaman yang meningkat kepada keselamatan penerbangan di ruang udara berhampiran.
Pihak berkuasa terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan menasihati orang ramai supaya berwaspada, walaupun tiada ancaman segera kepada kawasan berpenduduk dilaporkan setakat ini. -AFP











