Menghayati makna kemerdekaan melangkaui simbol, slogan

Menghayati makna kemerdekaan melangkaui simbol, slogan

SEMANGAT kemerdekaan tidak sewajarnya hanya hidup sekadar di pentas perarakan atau di media sosial sahaja sebaliknya maknanya perlu dihayati oleh rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA sebulan sahaja lagi, usia kemerdekaan negara akan meningkat setahun.

Genap 68 tahun pada 31 Ogos ini, pelbagai asam garam ditempuhi negara tercinta.

Sebagaimana menyambut hari lahir seseorang sebagai tanda penghargaan terhadap kewujudan mereka dalam hidup kita dan rasa syukur atas kehadirannya yang masih bersama, begitulah juga semangat yang ingin dizahirkan melalui Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) yang kini sedang giat direncanakan demi tanah air tercinta.

Kebiasaannya dalam sesebuah sambutan, mesti ada tema dan logo. Ia bukan slogan kosong mahupun hiasan semata-mata. HKHM tahun ini bertemakan ‘Malaysia Madani: Rakyat Disantuni’ sementara logo Malaysia Madani kekal sebagaimana diumumkan pada 11 Jun lalu.

Memandangkan tema sambutan menekankan aspek hati dan suara rakyat, pemilihan cogan kata yang ringkas tetapi sarat makna memberi penekanan signifikan terhadap keutamaan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara. Hal ini selaras dengan aspirasi Malaysia yang menjunjung nilai perpaduan dan kesejahteraan, sebagaimana ucapan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Logo berperanan sebagai simbol visual yang menjadi identiti rasmi sesuatu sambutan. Ia hadir dan diperhatikan oleh masyarakat sama ada melalui hiasan di tepian jalan, pentas-pentas utama, mahupun menerusi hantaran di media sosial yang sentiasa aktif.

Pemilihan logo bagi sambutan ini amat bertepatan kerana ia menandakan komitmen kerajaan untuk terus mengangkat agenda Malaysia Madani sebagai dasar yang merangkul rakyat serta menjadi lambang penyatuan semangat patriotisme negara.

Isunya bukan sekadar mengekalkan sesuatu rekaan tetapi lebih kepada hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat benar-benar memahami serta menghayati semangat madani yang berteraskan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

 

INISIATIF 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG

Hakikatnya, sambutan ini tidak akan bermakna kalau sekadar berlegar di pentas perarakan atau poster rasmi. Tema dan logo mungkin menjadi wajah, namun rakyatlah nadi sebenar yang menghidupkan maknanya. Justeru, Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan terus dilaksanakan sebagai langkah menggalakkan setiap rakyat, tanpa mengira lokasi, untuk bersama-sama menzahirkan rasa bangga dan berdiri di bawah bendera yang sama.

Diperkenalkan pada sambutan HKHM tahun lalu membabitkan lima kluster iaitu pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, keselamatan, komuniti dan penambahan dua lagi kluster pada tahun ini iaitu industri dan agensi kerajaan. Ia adalah instrumen jelas ajakan kerajaan untuk menggalakkan rakyat mengibar lambang kedaulatan, perpaduan dan semangat negara bangsa itu. Pastikan ia dikibar dengan betul dan berprotokol supaya tidak hanya cantik tetapi lengkap dan bermaruah.

PROMOSI DAN PUBLISITI

Melangkaui inisiatif fizikal seperti pengibaran Jalur Gemilang, usaha memeriahkan HKHM 2025 turut diperkukuhkan lagi menerusi strategi komunikasi bersepadu dan gerak kerja promosi yang meluas.

Sebagai tuan rumah utama sambutan, Kementerian Komunikasi bersama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) giat melaksanakan publisiti di pelbagai platform bagi membangkitkan semangat patriotik di segenap lapisan rakyat.

Melalui media sosial rasmi, video tema, siaran langsung pelancaran, hantaran infografik, kempen digital yang berterusan, mesej semangat Malaysia Madani dan nilai kenegaraan sempena HKHM 2025 dibawa terus ke ruang peribadi setiap warganegara. Dari TikTok hinggalah ke segmen di corong radio serta skrin televisyen arus perdana, semuanya digarap sebaik mungkin untuk memastikan tiada yang tercicir dalam kemeriahan sambutan bermakna ini.

Sebagai platform digital rasmi, Portal Merdeka 360 kendalian JAPEN juga mula aktif sejak tema dan logo HKHM 2025 dilancarkan. Berfungsi sebagai hab maklumat atau pusat sehenti yang membekalkan informasi rasmi sambutan termasuk aktiviti, pertandingan dan pengumuman penting. Orang ramai boleh mengaksesnya di pautan https://www.merdeka360.my/web/, Facebook, Instagram, X dan TikTok.

TITIK MULA HKHM 2025

Sebagai tanda rasmi bermulanya kempen di peringkat kebangsaan, Majlis Peluncuran Hari Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 (MPBKKJG 2025) diadakan pada 25 hingga 27 Julai lalu di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor. Majlis ini bukan sekadar acara pelancaran sebaliknya medan penyatuan rakyat yang membangkitkan semangat patriotik di akar umbi.

Lebih manis, pemilihan Johor sebagai tuan rumah memberi peluang rakyat di selatan tanah air bersama-sama meraikan detik bersejarah ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis tersebut. Beliau kemudiannya melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang membabitkan aset pengangkutan darat dan air gabungan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Marin, JAPEN, Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, jabatan dan agensi kerajaan negeri Johor, Kelab Permotoran BMW K16 Johor, Grab, Food Panda, Misi Rakyat dan POS Malaysia.

Program sampingan seperti Karnival Kita Madani, Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak Madani, Pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, kaunter bayaran saman PDRM yang menawarkan potongan sehingga 30 peratus selain Bakti Komuniti Madani serta Permukiman Komuniti Madani Semenanjung 2025 membolehkan semangat sambutan ini dirasai semua lapisan masyarakat. Semuanya diolah bertujuan memastikan HKHM 2025 bukan sekadar berlangsung, tetapi berbekas di hati rakyat.

Segala persiapan ini menjadi pemula detik lebih besar dengan tumpuan HKHM 2025 beralih ke Dataran Putrajaya untuk Sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada 31 Ogos nanti, sebelum diteruskan dengan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Pulau Pinang.

Pemilihan Pulau Mutiara sejajar dengan amalan penggiliran sambutan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang menjadi tradisi meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan lagi semangat negara bangsa.

Tetapi yang pasti, apa jua sambutan yang dirancang, segah mana pun acara digerakkan, semuanya kembali kepada rakyat kerana hakikatnya semangat kemerdekaan tidak sewajarnya hanya hidup sekadar di pentas perarakan atau di media sosial.

Sambutan ini sewajarnya diangkat sebagai ruang untuk bermuhasabah, mengenang jasa mereka yang terdahulu dan meraikan apa yang kita ada hari ini.

Jadi, jangan sekadar tengok dari jauh. Kibarkan Jalur Gemilang, libatkan diri dan hayati maknanya. Kerana Malaysia bukan milik orang lain, ia milik kita bersama.-UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×