KUALA LUMPUR: Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM1.3 trilion hingga akhir Jun 2025 berbanding RM1.25 trilion pada penghujung 2024, berikutan keperluan membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan negara.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah liabiliti kerajaan Persekutuan pula mencatatkan RM384.6 bilion hingga akhir Mac 2025, sedikit menurun berbanding RM384.8 bilion pada akhir tahun lalu.
Katanya, pinjaman kerajaan digunakan secara berhemah untuk membiayai projek pembangunan strategik termasuk infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta program perlindungan sosial.
“Bagi 2024, pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM197.5 bilion, lebih rendah berbanding RM226.6 bilion pada 2023.
“Penurunan ini seiring dengan usaha konsolidasi fiskal, apabila defisit menurun daripada 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024 dan diunjur terus menyusut kepada 3.8 peratus pada 2025,” katanya ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai rancangan dan tindakan akan diambil untuk memastikan hutang kerajaan termasuk gerenti dan liabiliti tidak akan terus bertambah dan kalau boleh dikurangkan.
Menurut beliau, komitmen kerajaan adalah mencapai sasaran defisit fiskal di bawah tiga peratus daripada KDNK serta memastikan nisbah hutang kepada KDNK kekal di bawah paras 60 peratus dalam jangka masa sederhana seperti diperuntukkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (Akta 850).
“Trend peningkatan hutang juga menunjukkan penurunan ketara daripada 10.2 peratus pada 2022 kepada 6.4 peratus pada 2024 dan dijangka terus menurun kepada sekitar 6 peratus pada 2025,” katanya.
Hui Ying berkata, kerajaan sedang melaksanakan beberapa langkah kawalan bagi menangani peningkatan hutang dan liabiliti termasuk meneruskan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur dan memperluas asas hasil serta memastikan kutipan hasil yang mampan.
Selain itu, kerajaan juga mengoptimumkan perbelanjaan awam menerusi rasionalisasi subsidi, semakan badan berkanun dan penilaian semula perbelanjaan kerajaan dan menggunakan pinjaman hanya untuk membiayai projek pembangunan (DE) yang memberi pulangan jangka panjang.
Malah, menetapkan had pendedahan jaminan kewangan kepada 25 peratus daripada KDNK di bawah Akta 850, mengutamakan projek berasaskan konsep user-pay melalui Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) serta menyemak kaedah pelaksanaan projek secara off-budget dan hanya mempertimbangkan projek dalam skop dan siling Rancangan Malaysia Lima Tahun.
“Beberapa inisiatif strategik kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Program Pengaktifan dan Pembaharuan Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) serta pelarasan dasar seperti kenaikan gaji minimum dijangka merangsang ekonomi dan mengukuhkan hasil kerajaan.
“Kerajaan juga komited melaksanakan reformasi institusi termasuk penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan bagi memperkukuh tadbir urus serta RUU berkaitan Syarikat Milik Kerajaan (SOE) untuk meningkatkan akauntabiliti dan prestasi korporat,” katanya.-UTUSAN










