KUALA LUMPUR: Peningkatan hutang negara yang semakin membebankan memberi kesan terhadap pengurangan subsidi serta bantuan sosial kepada rakyat khususnya golongan B40.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, belanja pengurusan negara mencatat peningkatan yang ketara dengan bayaran khidmat hutang yang dijangka naik daripada RM46.3 bilion pada 2023 kepada RM54.3 bilion pada 2024.
Sementara itu, belanja mengurus juga meningkat dari 14.9 peratus kepada 16.3 peratus.
“Apabila hutang pengurusan meningkat, kesannya secara langsung akan menyebabkan subsidi dan bantuan sosial berkurangan.
“Ini sudah mula dapat kita lihat apabila subsidi bantuan menurun daripada RM71.8 bilion pada tahun 2023 kepada RM57.8 bilion yang dijangka pada 2025,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) di Dewan Rakyat, hari ini.
Idris turut menyentuh isu kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat, terutama golongan B40.
“Sebagai contoh, harga telur gred A yang sebelum ini berharga RM12 sepapan, meningkat kepada RM13.80 selepas penghapusan subsidi,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap isu tersebut dan memastikan bantuan serta subsidi disasarkan dengan lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Golongan kaya dalam T15 dikatakan tidak menerima subsidi, namun perluasan SST yang mengurangkan pengecualian cukai hanya memberikan kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Ini perlu dikaji semula agar keadilan sosial dapat dijamin,” ujarnya.
Katanya, Pas terus memperjuangkan hak rakyat dan akan terus memantau serta memberikan input kepada kerajaan supaya beban rakyat dapat dikurangkan tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi negara. – UTUSAN










