Tiada penambahan hutang negara - PM

Tiada penambahan hutang negara – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kerajaan tidak akan menambah lagi hutang negara walaupun nisbah hutang perlu ditanggung ketika ini semakin berkurangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan nisbah hutang itu dicapai menerusi pelbagai langkah pengurusan kewangan yang dilaksanakan kerajaan, namun negara masih berdepan komitmen pembayaran faedah bagi hutang lama.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, beban kewangan tersebut termasuk pembayaran berkaitan liabiliti terdahulu seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Felda.

“Saya tidak mahu terus menambah hutang negara. Ada yang kata hutang kerajaan semakin meningkat.

“Hakikatnya, nisbah hutang kerajaan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin menurun, tetapi jumlah bayaran balik hutang masih tinggi kerana kita masih perlu membayar faedah hutang yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Naib Canselor Universiti Islam Selangor, Prof. Datuk Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.

Anwar berkata, kerajaan masih menanggung beban kewangan yang besar akibat keputusan pelaburan dan salah urus pentadbiran terdahulu, termasuk pembelian aset pada harga yang jauh melebihi nilai sebenar.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kerajaan hari ini terpaksa menanggung kos pembayaran yang tinggi setiap tahun bagi menyelesaikan komitmen kewangan yang ditinggalkan, sekali gus mengehadkan ruang fiskal untuk melaksanakan pelbagai agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, terdapat aset termasuk sebuah hotel yang dibeli pada harga RM400 juta walaupun nilai sebenar dianggarkan hanya sekitar RM160 juta.

“Saya tahu kerana laporan itu sampai kepada saya. Apabila saya mengambil alih, saya pula yang perlu menyelesaikannya.

“Sekarang kita hendak jual semula pun mungkin hanya bernilai sekitar RM100 juta. Itulah realitinya,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pendedahan mengenai perkara itu mungkin tidak disenangi sesetengah pihak yang berpendapat isu lama tidak perlu lagi dibangkitkan.

“Adakah saya akan menjadi popular apabila menceritakan perkara ini? Sudah tentu tidak. Orang marah. Mereka kata jangan ungkit kisah lama.

“Tetapi siapa yang perlu membayar sekarang? Kerajaan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, beban kewangan itu turut dapat dilihat menerusi komitmen kerajaan terhadap Felda yang mencecah hampir RM1 bilion setiap tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN