Skuad B-23 negara belum sedia ke Piala ASEAN

Skuad B-23 negara belum sedia ke Piala ASEAN

SKUAD negara terpaksa pulang awal selepas gagal mencari kemenangan semasa menentang Indonesia dalam aksi Piala ASEAN B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, kelmarin. Malaysia seri tanpa jaringan, - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain mengakui barisan anak buahnya masih belum cukup bersedia untuk bersaing di pentas antarabangsa dan masih banyak aspek perlu diperhalusi jika Malaysia mahu melahirkan skuad muda yang benar-benar kompetitif.

Nafuzi menjelaskan aspek persiapan dan perancangan perlu diberi perhatian lebih serius, terutama apabila membabitkan pemain-pemain muda yang belum berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.

“Secara keseluruhan, banyak perkara saya nampak perlu ditambah baik, terutama dari segi persiapan pasukan. Perancangan perlu lebih rapi, kerana kita sedang kendalikan pemain-pemain muda yang belum banyak pengalaman,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan menentang Indonesia, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasrat skuad muda negara untuk memburu kemenangan 3-0 ke atas Indonesia bagi melayakkan diri ke separuh akhir tidak kesampaian apabila mereka terikat 0-0 pada aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23, sekali gus Malaysia terpaksa pulang awal.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan A dengan empat mata.

Meskipun tidak berjaya mara ke separuh akhir namun Nafuzi menjelaskan apa lebih penting adalah pembangunan dan pendedahan berikutan majoriti pemain dalam skuad kali ini berusia antara 19 hingga 20 tahun dan masih dalam proses membentuk identiti dan kestabilan pasukan.

“Kekuatan kita sekarang banyak bergantung pada semangat dan potensi. Tapi untuk bersaing di kejohanan antarabangsa, pemain perlu matang dari segi mental dan emosi, bukan hanya teknikal,” jelas Nafuzi.

Beliau turut menegaskan bahawa aspek kecergasan dan fizikal menjadi antara kelemahan ketara skuad B-23 kali ini, terutama apabila berdepan pasukan seperti Indonesia yang lebih agresif dan mempunyai fizikal yang mantap.

“Bermain di pentas seperti ini memerlukan kekuatan fizikal tahap tertinggi. Bakat semata-mata tidak mencukupi kita perlu bina asas fizikal dan mental pemain seawal mungkin,” katanya.

Nafuzi juga menyeru semua pihak bermula dari penyokong, kelab, jurulatih akar umbi hingga ke pengurusan bola sepak negara untuk memainkan peranan dalam menyokong pembangunan bakat muda secara jangka panjang.

“Saya harap penyokong terus sabar dan bersama kami. Ini bukan perjalanan singkat. Tapi percayalah, kami sedang bina sesuatu yang besar untuk masa depan bola sepak Malaysia,” ujar Nafuzi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini