Katerer punca keracunan makanan tidak berdaftar

Katerer punca keracunan makanan di Pasir Mas tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan

DR. Zaini Hussin (tengah) bersama sebahagian penguat kuasa kesihatan semasa merasmikan Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam di Pejabat Kesihatan Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Pengusaha katerer yang menyebabkan pelajar dan kakitangan di sebuah kolej di sini keracunan makanan, didapati tidak mendaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM). 

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, maklumat tersebut hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan pihaknya ke atas pengusaha berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati katerer tersebut dipercayai baru memulakan perkhidmatan.

“Susulan itu, JKNK mengarahkan katerer tersebut untuk menutup operasi selama seminggu.

“Penutupan sementara itu bagi pemeriksaan premis yang digunakan oleh katerer untuk menyediakan makanan tersebut diperiksa,” katanya selepas Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam (OSKA) Siri 7/2025 di Dewan Iltizam Pejabat Kesihatan Pasir Mas, di sini hari ini.

Dr. Zaini berkata, semua pengendali makanan dan katerer perlu berdaftar dengan KKM bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan yang disediakan terjamin.

Kata beliau, wabak keracunan makanan di kolej tersebut sudah terkawal.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kira-kira 343 individu mengalami keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada gulai ayam. Kesemua individu terlibat itu terdiri daripada penuntut baharu ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan orientasi sebuah kolej di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini