BUSAN: Bandar pelabuhan Busan di Korea Selatan melancarkan perkhidmatan bas pandu sendiri pertama dalam satu majlis di Stesen Osiria, Khamis lalu.
Bermula bulan depan, empat bas pandu sendiri dengan kapasiti 15 tempat duduk penumpang akan memulakan operasi perintis di dalam kawasan pelancongan Osiria.
Perkhidmatan itu dijadualkan dibuka kepada orang awam pada September.
“Pelancaran perkhidmatan bas autonomi pertama Busan menandakan kehidupan seharian kita kini memasuki era pengangkutan berasaskan AI,” kata Datuk Bandar, Park Heong-joon pada majlis itu.
Kenderaan itu dilengkapi dengan teknologi pemanduan sendiri Tahap 3, yang membolehkan operasi autonomi bersyarat, biasanya di lebuh raya atau laluan khusus.
Bagaimanapun, teknologi itu masih memerlukan pemandu berada di dalam kenderaan untuk mengambil alih jika berlaku kecemasan.
Terletak di Gijang-gun, Busan, kompleks pelancongan Osiria dibangunkan oleh Perbadanan Metropolitan Busan dan meliputi keluasan 3.66 kilometer persegi.
Kawasan itu merangkumi penginapan, pusat beli-belah dan taman tema.
Menurut perancangan bandar yang diumumkan tahun lalu, bas automatik tersebut akan bergerak di sepanjang enam laluan dalam kompleks meliputi jarak 4.75 kilometer.
Ia akan berkongsi jalan dengan kenderaan biasa tanpa laluan khas.
Pihak berkuasa bandar turut memaklumkan laluan bas itu dijangka diperluas ke kawasan Haeundae, destinasi pelancongan popular di Busan pada tahun hadapan.- AGENSI










