PETALING JAYA: Malaysia dan Australia dijangka memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) baharu dalam bidang pendidikan semasa Mesyuarat Pemimpin Tahunan antara kedua-dua negara yang dijadual berlangsung Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, memorandum persefahaman tersebut akan merangkumi kerjasama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kurikulum serta program pertukaran pelajar.
“Pendidikan kekal menjadi salah satu tonggak utama hubungan Malaysia dan Australia dan perjanjian baharu ini akan memperkukuh lagi jaringan kerjasama dalam membina modal insan berkemahiran tinggi,” katanya dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Australia, Senator Penny Wong di sini, hari ini.
Lawatan Wong ke Malaysia merupakan sebahagian daripada rangka kerja diplomatik Australia untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyambut baik minat pelabur Australia dalam sektor strategik seperti pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.
Beliau berkata, Australia juga dijemput menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) September ini, selaras dengan potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan.
“Saya turut menghargai sokongan Australia dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan menerusi dana latihan dan penyelidikan berjumlah AUD500,000,” katanya.
Anwar turut menzahirkan harapan terhadap lawatan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese ke Malaysia Oktober ini yang disifatkan sebagai peluang membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala berteraskan kepercayaan, nilai bersama dan aspirasi rantau Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur. – UTUSAN









