KETIKA Malaysia sepatutnya mempercepatkan peralihan iklim, mampukah kita berdepan kejutan dasar luar dan domestik yang mengancam kestabilan kewangan iklim dan agenda teknologi hijau negara?
Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk Malaysia bermula 1 Ogos ini menggoncang landskap ekonomi negara sekali gus berpotensi mengubah haluan pelan peralihan tenaga negara.
Langkah sepihak ini bukan sahaja membahayakan dagangan tahunan berjumlah AS$80 bilion (RM 339 bilion) dengan AS, malah boleh meruntuhkan asas kewangan dan industri yang penting dalam menjayakan sasaran sifar bersih karbon menjelang 2050.
Bagi sebuah negara yang berikrar mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030, ini bukan sekadar cabaran ekonomi tetapi juga ujian terhadap kecekapan tadbir urus iklim, daya tahan dan kesiapsiagaan negara.
Kesan potensi sangat besar, terutamanya kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menyumbang hampir 40 peratus daripada jumlah eksport negara. Pelan Induk Teknologi Hijau banyak bergantung kepada sektor ini untuk memacu pengilangan rendah karbon dan perkembangan terkini meletakkan strategi industri berasaskan iklim dalam keadaan genting.
Pada masa sama, pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai turut menambah tekanan dari dalam negara. Lebih 4,800 barangan yang dahulunya dikecualikan cukai termasuk peralatan industri dan mesin pelepasan rendah kini dikenakan cukai 8 peratus, naik daripada kadar asal 6 peratus.
Walaupun dijangka menjana pendapatan tambahan RM3 bilion, waktu pelaksanaannya dianggap kurang sesuai. Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) memberi amaran beban cukai ini akan meningkatkan kos, mengecilkan margin keuntungan dan mengurangkan daya tarikan pelaburan terutama dalam infrastruktur hijau berintensif modal tinggi.
Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada 2023 meletakkan sasaran tinggi untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam campuran tenaga negara menjelang 2050, membangunkan teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) serta menarik pelaburan sebanyak RM435 bilion. Namun, kesemua ini bergantung kepada kekuatan sektor swasta, pelaburan langsung asing dan keyakinan pelabur.
Penurunan pendapatan eksport akibat tarif, ditambah kos operasi domestik yang meningkat akibat SST, boleh melambatkan penggunaan tenaga bersih, pelaburan dalam penyimpanan bateri dan jaringan pintar.
Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang teknologi hijau yang kini bergelut dengan margin kewangan sempit mungkin terpaksa menghentikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) atau menangguhkan naik taraf hijau mereka.
Situasi ini secara langsung mengancam penciptaan 23,000 pekerjaan hijau seperti yang diramalkan di bawah NETR dan mengurangkan sumbangan Malaysia kepada rantaian bekalan tenaga bersih global pada saat permintaan semakin meningkat.
Malaysia turut melancarkan Pasaran Karbon Secara Sukarela (VCM) menerusi Bursa Carbon Exchange (BCX) pada penghujung 2022 antara inisiatif kewangan iklim paling menjanjikan di Asia Tenggara. Pasaran ini dijangka bernilai AS$237 juta (RM 1.1 bilion) menjelang 2030 dan mampu membiayai projek pemulihan hutan, pemuliharaan dan penyahkarbonan industri.
Namun begitu, VCM serta cukai karbon dan Skim Perdagangan Pelepasan (ETS) yang akan diperkenalkan di bawah Rangka Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) sangat sensitif terhadap keadaan makro ekonomi.
KESAN BESAR
Sejarah menunjukkan gangguan ekonomi atau dagangan sering menyebabkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan dasar harga karbon atas nama pemulihan ekonomi. Malaysia juga tidak terkecuali.
Sekiranya tidak dilindungi, mekanisme tadbir urus karbon negara mungkin terhenti atau mundur di saat ia paling diperlukan untuk memacu penyahkarbonan jangka panjang dan menarik modal hijau.
Perubahan iklim memberi kesan lebih besar kepada komuniti miskin dan rentan — dari hakisan pantai di Sabah hingga banjir bandar di Kuala Lumpur. Namun, ketidakstabilan ekonomi juga membawa kesan yang sama. Kerugian eksport akibat tarif boleh membawa kepada pemotongan pekerjaan dalam kawasan perindustrian utama, manakala inflasi SST akan meningkatkan kos sara hidup.
Apabila rakyat terpaksa memilih antara kelangsungan hidup jangka pendek dan kelestarian jangka panjang, alam sekitar biasanya menjadi korban pertama.
Tanpa sokongan bersasar, impian kita terhadap ‘peralihan adil’ mungkin sekadar retorik. Rangka kerja RUUPIN yang menekankan keadilan dan perlindungan untuk golongan rentan perlu disokong dengan dasar fiskal berdaya tahan dan jaringan keselamatan sosial progresif, bukan dikorbankan oleh pemotongan belanjawan akibat kejutan luar.
Apa yang boleh Malaysia lakukan? Pertama, negara perlu mendesak penjelasan lanjut mengenai skop tarif dan mendapatkan pengecualian bagi teknologi bersih, komponen solar dan barangan alam sekitar selari dengan pengecualian alam sekitar Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Kedua, sebahagian hasil SST perlu disalurkan untuk membina kapasiti VCM, projek perintis CCUS dan program latihan semula pekerjaan hijau.
Pengecualian atau rebat SST harus diberikan kepada peralatan pelepasan rendah, mesin cekap tenaga dan perkhidmatan audit karbon bagi menggalakkan pelaburan industri bersih.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia turut mempunyai kelebihan untuk mengetuai rundingan serantau bagi menetapkan mekanisme pelarasan karbon rentas sempadan dan pengiktirafan bersama barangan hijau bagi menyokong eksport rendah karbon.
Akhir sekali, peruntukan bagi pendidikan dasar iklim harus dipercepatkan khususnya dalam pasaran karbon, undang-undang iklim dan ekonomi alam sekitar bagi melahirkan generasi pakar iklim akan datang.
Kejutan ekonomi sentiasa hadir dan pergi. Namun, krisis iklim kekal dan semakin meruncing. Ketika banjir semakin kerap, pencemaran udara memburuk dan biodiversiti merosot selain kos tidak bertindak menjadi lebih tinggi setiap tahun.
Dasar perdagangan dan cukai harus menyokong bukan menggagalkan aspirasi iklim negara.
Malaysia tidak boleh berundur daripada cita-cita iklim hanya kerana tarif atau cukai. Sebaliknya, kita mesti menggunakan detik-detik ini untuk menilai semula alat ekonomi, memperkukuh kepimpinan global dalam tadbir urus iklim dan membina Malaysia yang lebih hijau serta berdaya tahan tanpa menggadaikan masa hadapan demi kelegaan sementara.-UTUSAN
PENULIS ialah Aktivis Alam Sekitar, Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD), Universiti Putra Malaysia (UPM).










