Israel jadikan kelaparan untuk hukum rakyat Palestin

Israel jadikan kelaparan untuk hukum rakyat Palestin

WALID ABU ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rejim Zionis Israel didakwa terus menggunakan taktik kejam termasuk menjadikan kelaparan sebagai senjata untuk menghukum rakyat Palestin di Gaza selain menjadikan pusat agihan bantuan sebagai sasaran serangan yang mengorbankan orang awam.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, situasi kemanusiaan di Gaza kini berada pada tahap paling genting susulan angka korban yang terus me­ningkat saban hari serta kemusnahan hampir keseluruhan sistem kesihatan dan pendidikan.

Katanya, setakat ini seramai 56,000 rakyat Palestin telah terkorban manakala lebih 15,000 masih tertimbus di bawah runtuhan selain lebih 130,000 lagi cedera akibat serangan berterusan tentera Israel.

“Sebanyak 85 peratus hospital di Gaza musnah dan rosak teruk. Ini menyebabkan rawatan tidak dapat diberikan kepada mangsa yang tercedera. Keadaan lebih memburuk apabila sistem pendidikan turut lumpuh dengan 75 peratus infrastruktur dimusnahkan.

“Lebih membimbangkan, Israel secara terbuka menyeru supaya bantuan asas harian kepada rakyat Palestin dihenti­kan, malah pusat pengagihan bantuan juga menjadi sasaran serangan yang membunuh lebih 80 orang awam dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas bantuan makanan dihantar ke Gaza dicemari bahan terlarang, Walid berkata, tiada bukti kukuh yang dapat mengesahkan dakwaan tersebut, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku memandangkan kekejaman rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya, badan antarabangsa yang menguruskan bantuan kemanusiaan perlu memastikan semua bekalan yang dihantar ke Gaza adalah selamat serta tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami tidak terkejut jika Israel tergamak mencemari bantuan kemanusiaan. Mereka sanggup lakukan apa sahaja untuk terus menghancurkan rakyat Palestin.

“Lebih dahsyat, tentera Israel sebelum ini didakwa menahan mayat syuhada Palestin di ‘Perkuburan Nombor’ serta mengambil organ seperti hati, jantung, kornea dan sumsum tulang untuk digunakan di hospital mereka sendiri. Malah, tahanan Palestin juga pernah dijadikan perisai manusia apabila diikat hidup-hidup pada kereta kebal,” katanya.

Menurut Walid, kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa malah mencabuli prinsip asas kemanusiaan yang seharusnya dipertahankan oleh masyarakat global.

Katanya, dakwaan penggunaan tubuh syuhada sebagai sasaran atau perangkap serta tindakan menjadikan tahanan sebagai perisai hidup adalah bukti nyata bahawa rejim Zionis sanggup melakukan apa sahaja untuk menindas rakyat Palestin tanpa rasa belas kasihan.

“Pelanggaran demi pelanggaran ini telah kami bangkitkan di pelbagai forum antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun sehingga kini tiada tindakan tegas dikenakan terhadap Israel,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×