Ambalat mampu jadi hab baharu tenaga, ekonomi serantau

Ambalat mampu jadi hab baharu tenaga, ekonomi serantau

PETA menunjukkan kawasan Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan Malaysia dan Indonesia yang hampir sepakat membangunkan Ambalat dilihat mampu mewujudkan kawasan baharu tenaga dan ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Pakar ekonomi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. L. Nanthakumar berkata, jika dimanfaatkan dengan betul, kawasan Ambalat mampu menjadi kompleks penapisan, petrokimia dan eksport gas asli cecair berimpak tinggi.

Katanya, kedua-dua negara adalah antara pengeksport gas asli cecair dunia dan memiliki infrastruktur serta pengalaman untuk menjadikan Ambalat sebagai hab baharu tenaga.

“Jika pelan pembangunan bersama dilaksanakan, ia bukan sahaja merapatkan jurang persempadanan tetapi menjana peluang pekerjaan kepada graduan daripada kedua-dua negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, kerjasama erat Petronas dan Pertamina dalam penerokaan sumber di Ambalat akan menjadi punca ke arah model ekonomi sempadan yang inklusif dan lestari.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Malaysia dan Indonesia hampir mencapai kata sepakat berhubung Ambalat iaitu wilayah sempadan ma­ritim antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masih terdapat beberapa perkara termasuk di bahagian teknikal untuk mengenalpasti serta memuktamadkan kaedah kedua-dua negara dapat menikmati hasil bumi yang ada di Ambalat.

“Kajian telah dibuat, di laut situ mempunyai deposit minyak dan gas yang paling banyak, jadi mengapa perlu kita tunggu, kalau mahu ikut persempadanan, sampai 20 ke 30 tahun tidak boleh tercapai.

“Kawasan ini (Ambalat), kawasan yang sentiasa menjadi pertikaian. Pada masa sama kita rugi, lebih baik kita menghasil usahakan supaya faedah itu dinikmati kedua-dua negara,” katanya.

Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berkata, kelewatan menyelesaikan isu Ambalat bermakna kedua-dua negara kehilangan potensi kekayaan yang tidak ternilai.

Beliau berkata, melalui perkongsian hasil dan pemba­ngunan bersama, peluang menjana pendapatan besar terbuka luas malah menarik penyertaan pelabur luar dengan teknologi cari gali terkini.

“Penyelesaian teknikal antara syarikat minyak nasional mampu memanfaatkan hubu­ngan diplomatik erat kedua-dua negara, menjadikan Ambalat sebagai titik mula pengaruh ekonomi baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×