F&N pertimbang kenaikan harga produk secara bersasar

F&N pertimbang kenaikan harga produk secara bersasar

TARANG Gupta semasa Taklimat Keputusan Kewangan F&N di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) tidak menolak kemungkinan melaksanakan kenaikan harga produk secara bersasar susulan peningkatan kos komoditi dan bahan mentah dengan kenaikan harga purata portfolio produknya ketika ini sekitar tiga hingga empat peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Tarang Gupta berkata, kenaikan harga berkenaan melibatkan keseluruhan portfolio produk kumpulan secara purata, namun pelaksanaannya berbeza mengikut produk dan pasaran termasuk Malaysia dan Thailand.

“Kumpulan perlu mempertimbangkan peningkatan kos komoditi seperti gula, timah dan tenaga dalam menentukan strategi penetapan harga pada masa depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, sebarang pelarasan harga perlu mengambil kira kemampuan pengguna serta kesan terhadap jumlah jualan kumpulan.

“Perkara penting ialah kami juga perlu melindungi jumlah jualan dan pengguna. Ia memerlukan keseimbangan antara sejauh mana kami boleh melaksanakan strategi reserve to refuel, meningkatkan kecekapan dan menguruskan kos,” katanya semasa Taklimat Keputusan Kewangan F&N di sini. 

Beliau berkata, pergerakan kadar pertukaran mata wang asing turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi kos dan prestasi kewangan kumpulan.

Katanya, penyusutan nilai ringgit akan meningkatkan kos import, namun pada masa sama memberi kesan positif terhadap nilai penukaran hasil operasi dari Thailand dan Kemboja kepada ringgit.

“F&N tidak bercadang melaksanakan kenaikan harga secara menyeluruh, sebaliknya pendekatan bersasar akan digunakan berdasarkan tahap keanjalan harga setiap produk.

“Produk yang dijual kepada pelanggan perniagaan-ke-perniagaan (B2B), seperti susu pekat dalam tin, lebih sensitif terhadap perubahan harga kerana pelanggan turut mengambil kira margin keuntungan perniagaan masing-masing.

“Kami perlu menghormati perkara itu. Jadi, pendekatan ini memerlukan penelitian yang teliti. Namun, kenaikan harga mungkin perlu diuji sekiranya harga komoditi terus meningkat.

“Pada masa sama, kami juga perlu melindungi keuntungan mutlak dan memastikan pertumbuhan perniagaan berterusan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, F&N menjangkakan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan lagi untuk menilai perkembangan operasi perniagaannya di Kemboja selepas memulakan operasi kilang baharu di negara itu.

Beliau berkata, tempoh berkenaan diperlukan bagi menilai penerimaan pasaran, pesanan daripada pengedar serta pembelian berulang sebelum kumpulan dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai prestasi perniagaan tersebut.

Katanya, penerimaan awal daripada pihak perdagangan menunjukkan perkembangan menggalakkan, namun tempoh sebulan pertama masih terlalu singkat untuk menilai potensi sebenar operasi berkenaan.

“Produk kami dihasilkan secara tempatan, mempunyai cita rasa Khmer dan menggunakan kemudahan kilang yang baik. Semua elemen itu berada pada landasan yang betul, tetapi kami perlu memastikan ia diterjemahkan kepada prestasi perniagaan.

“Enam bulan lagi akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai perkembangan operasi di Kemboja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tahun kewangan 2027 akan lebih tertumpu kepada usaha membina saluran perniagaan dan memperluas kehadiran kumpulan dalam pasaran berkenaan.

“Model perniagaan F&N di Kemboja kini berbeza berbanding sebelum ini apabila kumpulan beralih daripada operasi perdagangan kepada pengeluaran tempatan menerusi pelaburan dalam kilang.

“Perubahan itu menyebabkan perniagaan kini berdepan kos lebih tinggi ketika operasi masih kecil, justeru memerlukan masa untuk mencapai skala yang lebih besar.

“Bagaimanapun, kumpulan tidak menjangkakan keperluan pelaburan tambahan berskala besar di Kemboja selepas kilang berkenaan siap dibina,” jelasnya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini