MELAKA : Dua buah premis kedai serbaneka disamun dalam tempoh sehari oleh suspek sama yang bersenjatakan kayu besbol, menyebabkan seorang pekerja cedera parah dalam kejadian awal pagi semalam.
Suspek dipercayai melakukan rompakan pertama di sebuah premis 7-Eleven di Taman Sin Hoe, Bukit Baru kira-kira pukul 4.43 pagi sebelum cuba menyamun sebuah lagi premis kedai serbaneka di Bukit Katil tidak lama selepas itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian pertama, mangsa lelaki berusia 20 tahun yang bertugas seorang diri diserang suspek yang berpura-pura mahu membeli tambah nilai Touch ‘n Go, sebelum tiba-tiba menarik keluar laci juruwang premis terbabit.
“Mangsa cuba menghalang tindakan suspek namun berlaku pergelutan sebelum suspek mengeluarkan sebatang kayu besbol yang dibalut kain hitam dan memukul kepala mangsa sebelum melarikan diri dengan membawa laci juruwang mengandungi wang tunai dianggarkan RM300.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan forensik di lokasi berjaya menemui tiga kesan cap jari dan dua sampel darah yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis perbandingan DNA.
Tambahnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut sedang dianalisis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam cubaan samun kedua di Bukit Katil, suspek yang memakai pakaian penghantar makanan berwarna oren dan topi keledar biru menggunakan modus operandi serupa.
“Suspek menyerahkan wang RM100 kononnya untuk membeli tambah nilai RM50 dan ketika mangsa mahu memberikan baki, suspek memasukkan tangan ke dalam laci wang menyebabkan berlaku pergelutan.
“Suspek kemudian memukul mangsa menggunakan besi jenis tripod sebelum melarikan diri menaiki motosikal Yamaha LC berwarna hitam dengan kotak penghantaran makanan berwarna oren di bahagian belakang,” katanya.
Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di pergelangan tangan dan tiada wang tunai dilaporkan hilang dalam cubaan samun itu.
Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata dan menyebabkan kecederaan. Usaha mengesan suspek giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan penjenayah terbabit segera diberkas. – UTUSAN










