Mulakan senaman, jangan tunggu kurus dulu

Mulakan senaman, jangan tunggu kurus dulu

KAJIAN menunjukkan senaman dapat membantu mengurangkan simptom kemurungan, keresahan, dan tekanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang melihat senaman sebagai hukuman kepada diri sendiri kononnya untuk menebus dosa makan berlebihan atau kerana berat badan yang naik mendadak. Namun, persepsi ini perlu diubah sepenuhnya.

Senaman bukan sesuatu yang perlu ditakuti atau dianggap sebagai balasan, tetapi satu hadiah kepada tubuh. Kita bangun pagi, kita berjalan, kita regangkan badan semua itu tanda kita memberi masa dan kasih sayang kepada jasad yang selama ini membawa kita ke mana-mana.

Tidak perlu terus ke gimnasium atau berlari lima kilometer sebagai permulaan. Satu perubahan kecil, seperti berjalan 10 minit selepas makan malam atau berdiri setiap 30 minit ketika bekerja, boleh membawa kesan besar jika dilakukan secara konsisten. Konsistensi jauh lebih penting berbanding intensiti.

Tiada gunanya bersenam teruk-teruk seminggu sekali, tetapi selebihnya pasif sepanjang minggu.

Kajian menunjukkan berjalan 30 minit sehari secara konsisten boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, membantu mengawal tekanan darah, dan meningkatkan kesihatan mental. Jika 30 minit terasa berat, mulakan dengan 10 minit dan tambah masa setiap minggu.

Senaman kerusi pula sangat sesuai untuk mereka yang mengalami masalah sendi atau obesiti morbid. Gerakan seperti duduk dan berdiri dari kerusi, mengangkat lutut, atau mengayuh kaki secara duduk dapat membantu meningkatkan kadar degupan jantung tanpa memberi tekanan melampau pada sendi.

Bagi yang ada akses kepada kolam renang, aerobik air atau berenang adalah pilihan terbaik.

Air menyokong berat badan, mengurangkan impak kepada sendi dan membolehkan gerakan lebih lancar. Malah, berada dalam air juga memberikan rasa lebih ringan dan menyeronokkan.

Apa jua bentuk senaman yang dipilih, pastikan ia sesuai dengan tahap kemampuan diri. Yang penting, mula dan kekalkan momentum.

Kajian menunjukkan senaman dapat membantu mengurangkan simptom kemurungan, keresahan, dan tekanan. Apabila kita bersenam, tubuh melepaskan hormon endorfin yang membawa rasa gembira dan puas hati.

Oleh itu, jangan bersenam semata-mata untuk kurus. Bersukanlah untuk menjadi lebih kuat, lebih fleksibel, lebih tenang, dan lebih bertenaga. Tubuh yang aktif akan membawa jiwa yang lebih bahagia. Kurus itu bonus, sihat itu keperluan.

Keluarga dan rakan-rakan memainkan peranan yang amat besar dalam membantu seseorang mengekalkan rutin kecergasan.

Ajak pasangan atau anak-anak berjalan bersama selepas makan malam. Ia bukan sahaja menyihatkan tubuh, tetapi juga merapatkan hubungan kekeluargaan. Sokongan secara tidak langsung ini membina suasana positif di rumah dan menjadikan senaman satu aktiviti yang menyeronokkan, bukan membebankan.

Mulakan dengan apa yang ada di sekeliling. Gunakan tangga di rumah, kawasan lapang di ruang tamu, atau hanya botol air sebagai pemberat. Yang penting ialah bergerak. Ingat, tiada senaman yang terlalu kecil dimana setiap langkah membawa anda lebih dekat kepada kehidupan yang lebih berkualiti.

Hidup sihat bukan untuk dipamerkan, tetapi untuk dinikmati. Maka nikmatilah perjalanan itu, dan jadikan tubuh anda teman terbaik sepanjang hayat. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMAD NIZAM NAZARUDIN
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×