PETALING JAYA: Malaysia perlu meneroka pasaran baharu dalam menjadikannya antara penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di peringkat global.
Penganalisis ekonomi, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, usaha perlu dibuat secara konsisten memandangkan keupayaan Malaysia dilihat masih tidak mencukupi untuk menerokai pasaran baharu berkenaan.
Namun katanya, dengan kerjasama ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, Malaysia dilihat mampu bertindak lebih agresif, bukan sahaja daripada segi pembikinan, malah juga dalam aspek pembangunan negara yang turut mampu ditingkatkan.
“Jika kita lihat, GCC ini adalah kelebihannya adalah mereka mempunyai pembiayaan pelaburan untuk menarik pelaburan daripada mereka, sementara China pula mempunyai teknologi yang boleh kita kembangkan untuk menjadikan negara kita sebagai pengeluar.
“Sebagai contoh, kita ada banyak sumber nadir bumi tetapi teknologi ada pada China.
“Jadi, kalau kita boleh tarik pelaburan dari GCC untuk terokai dan menghasilkan produk dari nadir bumi, kita boleh bekerjasama dengan China daripada segi pemindahan teknologi.
“Kita tidak mahu hanya sekadar menjadi negara pelombong sahaja, Jadi, GCC boleh membiayai infrastruktur untuk membangunkan kilang dan kita boleh buat pemindahan teknologi dari China dan menghasilkan sesuatu dari nadir bumi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
ASEAN, GCC dan China kini mewakili KDNK AS$24 trillion (RM101.7 trillion) iaitu sekitar 23 peratus daripada KDNK global.
Mengulas lanjut, Razman turut berkata, pada ketika ini, kapasiti yang dihasilkan Lynas di Pahang sahaja tidak mencukupi, maka sebab itu Malaysia perlu mengambil langkah lain untuk meningkatkan KDNK global tersebut.
“Sebab itu kita harapkan kerjasama melalui ASEAN ini, ia membolehkan pemindahan teknologi daripada China dengan bantuan pembiayaan lain daripada GCC,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, Malaysia turut boleh menerokai panel solar memandangkan GCC sudah mula mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan gas. – UTUSAN











