SEREMBAN: Seorang pemandu kereta Honda Jazz yang masih di bawah umur akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atas dua pertuduhan memandu sehingga menyebabkan tiga remaja maut dan tidak memiliki lesen memandu pada Mac lalu.
Peguam, Johan Radzi yang mewakili pesalah kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun itu memaklumkan demikian ketika prosiding sebutan kes di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah, semalam.
“Pihak pembelaan akan memfailkan representasi setelah meneliti dokumen-dokumen yang diperoleh daripada pihak pendakwaan,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Asisten Superintenden, M. Shanmugavell berkata, pihak pendakwaan sedia menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama, pesalah kanak-kanak itu sebagai pemandu Honda Jazz memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Kesalahan dilakukan lebih kurang pukul 8.30 malam di lampu isyarat Jalan Persiaran Senawang 1, Taman Matahari Height, Senawang, 6 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, remaja lelaki itu didakwa tidak memiliki lesen memandu di lokasi dan masa yang sama.
Sehubungan itu, dia melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.
Mahkamah menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi status representasi.
Pada 22 April lalu, pemandu Honda Jazz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Sebelum ini media melaporkan, dalam kemalangan pada 6 Mac lalu kereta Honda Jazz dipandu remaja lelaki gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Dua disahkan maut di lokasi kejadian iaitu Muhammad Aidil dan Muhammad Aswari sementara seorang lagi mangsa, Aisar Azim Abdullah, 17, meninggal dunia ketika dirawat di hospital. – UTUSAN











