RIYADH: Sebuah syarikat penerbangan Arab Saudi, Flynas, menyambung semula penerbangan untuk jemaah haji Iran buat kali pertama sejak 2015.
Menurut pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi yang enggan dinamakan, penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Teheran bermula pada Sabtu lalu.
“Flynas menyambung semula penerbangan jemaah haji Iran dari Teheran pada Sabtu, dan syarikat itu juga akan mengendalikan penerbangan serupa dari dan ke Mashhad di timur laut Iran,” katanya kepada agensi berita AFP.
Musim haji tahun ini dijadual bermula pada minggu pertama Jun, dan kumpulan jemaah antarabangsa kini sudah mula tiba di Tanah Suci.
Menurut pegawai tersebut, Flynas akan mengendalikan kira-kira 225 penerbangan sehingga 1 Julai ini, melibatkan lebih 35,000 jemaah haji dari Iran.
Beliau turut menegaskan, semua penerbangan tersebut adalah khusus untuk tujuan ibadah haji dan bukan bersifat komersial.
Hubungan diplomatik antara Arab Saudi dan Iran kembali pulih pada Mac 2023 melalui satu perjanjian bersejarah yang dimeterai dengan bantuan China, sekali gus menamatkan ketegangan antara kedua-dua negara sejak 2016.
Riyadh memutuskan hubungan diplomatik dengan Teheran pada Januari 2016 selepas penunjuk perasaan Iran menyerbu dan membakar Kedutaan Arab Saudi di Teheran serta Konsulatnya di Mashhad, sebagai bantahan terhadap hukuman mati ke atas ulama Syiah, Sheikh Nimr Al-Nimr.
Akibat ketegangan itu, rakyat Iran tidak dapat menunaikan ibadah haji pada tahun berkenaan kerana kegagalan kedua-dua negara mencapai persetujuan mengenai protokol perjalanan jemaah.
Bagaimanapun, pada tahun berikutnya, rakyat Iran dibenarkan menunaikan ibadah haji, tetapi masih belum dapat menunaikan ibadah umrah. – AGENSI











