Israel makin agresif serang Gaza, bunuh 33 lagi nyawa

Israel makin agresif serang Gaza, bunuh 33 lagi nyawa

SEORANG lelaki Palestin berlindung di sebalik tiang konkrit ketika tentera Israel melancarkan serangan di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh, dengan separuh daripadanya kanak-kanak, selepas Israel mengumumkan kempen ketenteraan besar-besaran di Gaza.

Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, 22 terbunuh dan sekurang-kurangnya 100 cedera dalam serangan ke atas khemah penduduk Palestin di Al-Mawasi, selatan Gaza.

Beliau berkata, tujuh lagi maut dalam serangan terhadap sebuah rumah di Jabalia di utara Gaza, yang turut merosakkan Hospital Al-Awda di kawasan sama.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kematian juga direkodkan di kawasan tengah Al-Zawayda dan di Khan Younis, di bahagian selatan wilayah.

Peningkatan serangan rejim dibuat ketika Mesir serta Qatar meneruskan rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Serangan terbaharu berlaku di tengah peningkatan serangan ketenteraan Israel di wilayah bergolak tersebut yang kini mengorbankan ratusan nyawa dalam tempoh 72 jam lalu.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Hamas mengecam serangan tersebut sebagai jenayah kejam yang baharu dan menyalahkan pentadbiran AS atas ketegangan yang semakin memuncak.

Tentera Israel belum mengulas mengenai serangan tersebut, namun dalam kenyataan terdahulu, mereka menyatakan bahawa operasi ketenteraan besar-besaran sedang dijalankan di beberapa kawasan di Gaza sebagai sebahagian daripada pelan mencapai matlamat peperangan.

Rundingan gencatan senjata secara tidak langsung yang dimediasi oleh Mesir dan Qatar dengan sokongan AS telah dimulakan pada Sabtu, menurut pegawai kedua-dua pihak.

Namun, sumber yang rapat dengan rundingan memaklumkan kepada Reuters bahawa tiada sebarang kemajuan dicapai setakat ini, apabila kedua-dua pihak masih berpegang teguh kepada pendirian masing-masing dalam rundingan yang berlangsung di Doha, Qatar.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN