Apabila wanita melangkah ke alam rumah tangga, statusnya turut berubah.
Bukan hanya sebagai seorang anak, tetapi menjadi isteri dan menantu.
Membahagi kasih antara ibu kandung yang melahirkan dan ibu mertua bukan mudah.
Daripada seorang wanita yang sebelum ini hanya tahu menyayangi ibu kandung, kini perlu belajar menerima dan menyayangi seorang lagi ibu bergelar ibu mentua.
Namun ada ketika, dalam usaha menjadi menantu yang baik, kadang kala timbul dilema kepada wanita .
Minggu ini, saya kongsikan kisah Faten (bukan nama sebenar), wanita yang pernah mendahulukan ibu mentua atas dasar tanggungjawab sehinggakan ibu sendiri pula berasa dipinggir.
Faten yang saya temui baru-baru ini mengakui dia tidak berniat membuka kisah lama, tetapi lebih kepada memberi iktibar kepada wanita di luar sana.
Terutamanya bagi individu yang sedang melalui fasa tersebut.
“Kadang-kadang dalam kita cuba menjadi menantu terbaik, kita terlupa, kita juga anak kepada seorang ibu.
“Dalam sibuk kita menjaga hati mentua, tanpa sedar telah mengguris hati ibu kandung sendiri,” katanya dalam pertemuan yang diatur bersama saya baru-baru ini.
Membuka kisah lalu, Faten mendirikan rumah tangga bersama lelaki pilihan, Danial (bukan nama sebenar) pada pertengahan Mac 2008.
Danial merupakan satu-satunya anak lelaki daripada lima adik-beradik.
Hubungan Faten dan ibu mentuanya sangat baik sejak hari pertama bergelar isteri.
Lebih-lebih lagi Faten merupakan satu-satunya menantu perempuan keluarga itu.
Ibu mertuanya, Habibah (bukan nama sebenar) sangat penyayang, mengambil berat dan rajin bertanya khabar.
Faten sangat-sangat menghargai keprihatinan itu walaupun dia tahu mana mungkin dapat mengganti kasih sayang ibu sendiri.
Sebagai anak perempuan, hubungannya dengan ibu kandung juga sangat rapat . Segala cerita dikongsi bersama.
Sejak kecil hingga meningkat remaja, bergelar mahasiswi hingga mendapat pekerjaan, ibulah menjadi tempat rujukan.
Namun, segalanya berubah perlahan-lahan selepas berkahwin.
Seperti kebiasaan Faten akan berkongsi cerita dengan ibu setiap kali pulang ke rumah ibunya.
Ini termasuk cerita tentang kebaikan ibu mentuanya.
Namun, hubungan itu disalah tafsir oleh ibu kandungnya sendiri.
“Sejak berkahwin, ibu mula berubah sikap. Ibu sering menyindir saya setiap kali saya pulang ke rumahnya.
“Awalnya, saya tidak tahu punca. Namun setelah melihat perubahan sikap ibu saya dapat meneka.
“Ibu mungkin tidak suka saya bercerita tentang besannya,”ujarnya.
Sejak itu, Faten cuba untuk tidak bercerita tentang ibu mentua di depan ibunya.
Konflik mula timbul apabila pada suatu hari ibu mentua jatuh sakit secara tiba-tiba.
Walaupun agak kekok, Faten dengan rela dan atas persetujuan suami mengambil alih tanggungjawab menjaga ibu mentua.
RENGGANG KIAN TERASA
Hari demi hari hubungan Faten dan ibu mentua semakin rapat. Faten mula memahami ibu mentua, sementara ibu mentua pula semakin menyayanginya seperti anak kandung sendiri.
Namun, tumpuan Faten terhadap ibu mentua menimbulkan rasa cemburu berlebihan pada ibu kandungnya.
Ibu kandungnya berasa kasih anaknya semakin menjauh, seolah digantikan dengan kehadiran orang lain.
Pada awalnya Faten tidak menyedari perubahan yang berlaku.
Baginya, menjaga ibu mentua hanyalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, lebih-lebih lagi ketika sakit.
“Saya tidak pernah terfikir, dalam keprihatinan terhadap ibu mentua, saya telah memberi perhatian lebih kepadanya berbanding ibu sendiri.
“Ibu semakin merajuk dan menjauhkan diri,” ujarnya. Konflik semakin timbul apabila dia pulang ke kampung suaminya untuk berhari raya.
Faten memilih untuk pulang beraya ke kampung suami pada tahun pertama perkahwinan selepas persetujuan dibuat antara mereka suami isteri.
Menurut Faten ketika itulah dia menyedari telah meletakkan ibu secara tidak sengaja di tempat kedua.
Hari demi hari Faten cuba mengubah dirinya. Dia belajar daripada kesilapannya dalam memberi kasih sayang dan perhatian kepada kedua-dua insan disayangi.
Apa yang diberi pada ibu mentua, turut dikongsi dengan ibu kandung.
Jika dia membelikan barangan tertentu kepada ibu mentua, dia akan pastikan ibunya menerima yang sama.
Jika dibeli pinggan mangkuk baharu, dia cuba membeli corak sama untuk ibu kandungnya.
Faten juga cuba meluangkan lebih masa dan memastikan ibunya sentiasa terasa dihargai.
Sesekali Faten mengajak ibu dan ibu mentuanya keluar membeli-belah bersama.
Perlahan-lahan, ibu mula membuka hati untuk mengenali besannya dengan lebih dekat.
“Saya bersyukur kerana ibu dan ibu mentua kini boleh duduk semeja, memasak dan ketawa bersama,” ujarnya.
Sambung Faten, kisah itu hampir 17 tahun berlalu, hari ini segalanya sudah berubah.
Dia sangat-sangat bersyukur, kini ibu dan ibu mentuanya menjalani kehidupan hari-hari tua dengan bahagia.
Lebih-lebih lagi dengan kehadiran tiga orang cucu yang mengikat kasih dan menceriakan hari-hari mereka.
Kisah Faten membuktikan dalam rumah tangga, sangat penting bagi seorang anak menjaga keseimbangan dalam memberi kasih sayang dan perhatian terutama kepada ibu dan ibu mentua.
Apabila kasih sayang dibahagi dengan adil dan ikhlas, tiada siapa yang akan berasa disisih.
“Mana mungkin saya boleh memilih antara dua ibu, tetapi saya cuba menyeimbangkan kasih agar semuanya berasa dihargainya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Sesungguhnya menghormati ibu dan ibu mentua dalam Islam sangat ditekankan.
Perintah berbakti kepada orang tua termasuk ibu dan ibu mentua terdapat dalam al-Quran dan hadis.
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya, ibu yang mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun,” (Surah Luqman ayat 14).-UTUSAN










