PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan sokongan terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 pada 24 Mei ini.
Ketua AMK, Adam Adli berkata, sokongan itu sebagai langkah strategik untuk memperkukuh barisan kepimpinan masa hadapan parti.
“Nurul Izzah menjadi sosok yang bukan sahaja berwibawa dan berprinsip, tetapi juga mampu meniupkan semangat reformasi ke generasi baharu, melintasi pelbagai latar yang ada.
“(Beliau) merupakan Naib Presiden antara yang paling berpengalaman sejak usia awal parti, mewakili suara rakyat sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal, dan mengabdikan diri sebagai aktivis hak asasi manusia di luar takwim politik, Nurul Izzah konsisten mengangkat nilai keadilan, integriti dan pembaharuan institusi.
“Parti ini sedang dipersiapkan menuju zaman dan cabaran baharu dan Nurul Izzah di barisan hadapan adalah tanda komitmen kita terhadap kesinambungan idealisme reformasi, melangkaui individu mahupun nama keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, PKR Selangor dan lima ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Melaka antara yang menyatakan sokongan terhadap bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebagai calon Timbalan Presiden bagi sesi 2025–2028.-UTUSAN







