PETALING JAYA: Buat pertama kali dalam sejarah, sekumpulan veteran tentera membuat keputusan menubuhkan parti politik iaitu Parti Kemakmuran Negara yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, keputusan itu diambil kerana parti politik sedia ada gagal menyelesai dan memperjuangkan pelbagai isu rakyat.
Malah, katanya, meskipun terdapat beberapa veteran tentera yang dilantik sebagai ahli Parlimen ketika ini, beliau menganggap mereka gagal menjalankan tugas dengan sewajarnya.
“Ada dalam tujuh veteran tentera yang menjadi ahli Parlimen tetapi kita lihat mereka lebih mengikut telunjuk ketua parti masing-masing dan bukannya memperjuangkan suara rakyat.
“Terlalu banyak isu yang belum diselesaikan. Isu pencerobohan tanah dan ekonomi malah veteran pun ada isu melibatkan gaji pencen anggota yang belum dikemas kini selepas lebih lima tahun. Ini jelas kecuaian dalam pentadbiran negara dan perkara ini tidak boleh terus dibiarkan,” katanya.
Disebabkan itu, Sharuddin berkata, partinya tekad untuk berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen pada PRU-15 dengan sokongan daripada anggota-anggota veteran tentera darat, laut dan udara serta orang awam berbilang bangsa.
“Kalau tidak dapat didaftarkan, kita bertanding sebagai calon Bebas. Kita benar-benar mahu menjadi sebuah parti yang berfungsi sebagai suara rakyat.
“Kami berhasrat memperbaiki sistem politik di negara ini, banyak yang lari daripada Perlembagaan. Malah, soal legislatif, kehakiman dan eksekutif dilihat tidak berfungsi dengan sewajarnya. Lantikan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga banyak yang boleh dipertikai,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya terbuka mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik lain selari dengan perjuangan partinya.
“Kami mahu menyelamatkan generasi akan datang. Kerajaan biarlah stabil, berintegriti dan menjalankan tugas dengan profesional.
“Kami terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak yang bermaruah, yang ada manfaat dan paling penting sehaluan. Tapi kalau parti politik yang rosak kami tidak mahu, banyak parti politik yang rosak di negara ini. Kita tawarkan rakyat jalan penyelesaian dan mereka mempunyai pilihan pada PRU-15 nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











