SEOUL: Angin kencang dan cuaca kering mendorong kebakaran hutan di Korea Selatan semakin merebak, menyebabkan tiga lagi daerah diisytiharkan sebagai ‘zon bencana khas’.
Sekurang-kurangnya empat orang terkorban setakat ini, dan memaksa ribuan penduduk berpindah sejak kebakaran bermula di beberapa kawasan pada Sabtu lalu.
Pihak berkuasa Korea Selatan mengerahkan hampir 9,000 anggota bomba dan tentera serta 120 helikopter ke lima kawasan terjejas dalam usaha mengawal kebakaran hutan di tenggara negara itu.
Menurut laporan situasi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, kebakaran pertama tercetus pada petang Jumaat di Sancheong, wilayah Gyeongsang Selatan, kira-kira 300 kilometer (km) di selatan Seoul, akibat percikan api daripada mesin pemotong rumput.
Sehingga kelmarin, kebakaran masih belum dapat dikawal dan memusnahkan lebih 1,464 hektar kawasan, menurut kementerian.
Sancheong sudah diisytiharkan sebagai zon bencana khas, satu status yang membolehkan peruntukan dana tambahan dan langkah bantuan lain.
Pemangku Presiden, Han Duck Soo berkata, satu lagi daerah di wilayah Gyeongsang Selatan serta dua lagi di Ulsan dan wilayah Gyeongsang Utara kini dimasukkan dalam senarai itu.
Di Euiseong, hampir 7,000 hektar tanah terjejas dan sekitar 600 penduduk dipindahkan, menurut Ketua Perkhidmatan Hutan Korea, Lim Sang-seop dalam sidang media, kelmarin.
Menurut laporan, kebakaran di Euiseong berpunca daripada aktiviti memperingati kematian di kawasan perkuburan dan memusnahkan sekitar 6,861 hektar tanah sehingga pagi Isnin.
Lebih 2,740 orang terpaksa dipindahkan akibat kebakaran itu, dengan kebanyakan mereka berlindung di pusat penempatan sementara.
Kira-kira 162 bangunan turut mengalami kerosakan, termasuk sebuah kuil di Euiseong.
Kebakaran hutan bukan sesuatu yang luar biasa di Korea Selatan, terutama pada Februari, Mac dan April apabila keadaan cuaca paling kering.– AGENSI











