PETALING JAYA: Wakil rakyat perlu turun padang mengesan dan mendekati remaja berisiko tercicir daripada persekolahan sebelum mereka membuat keputusan berhenti sekolah atau tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad berkata, usaha menangani keciciran pendidikan itu tidak seharusnya diletakkan di bahu guru semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif wakil rakyat, ibu bapa dan komuniti setempat.
Katanya, pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung, persatuan penduduk dan pemimpin belia mempunyai kelebihan untuk mengesan masalah berkenaan lebih awal kerana mereka dekat dengan penduduk serta memahami permasalahan di kawasan masing-masing.
“Keciciran pendidikan bukan semestinya berpunca daripada sikap pelajar, sebaliknya boleh berlaku akibat masalah kewangan keluarga, kehilangan pekerjaan ibu bapa, ketiadaan pengangkutan ke sekolah serta tekanan emosi.
“Masalah sedemikian mungkin tidak dapat dikenal pasti sepenuhnya oleh pihak sekolah, justeru memerlukan penglibatan pemimpin masyarakat untuk mengesan remaja yang memerlukan perhatian dan bantuan.
“Kita jangan tunggu sehingga seorang pelajar berhenti sekolah atau tidak hadir peperiksaan SPM, barulah hendak mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Altimet, pelajar yang mula menjauhkan diri daripada persekolahan perlu didekati lebih awal bagi memahami punca sebenar kerana ada antara mereka masih mempunyai keinginan untuk belajar tetapi tidak mengetahui saluran untuk mendapatkan bantuan.
Beliau menyokong kerjasama lebih erat antara pusat khidmat wakil rakyat, pihak sekolah, ketua kampung dan agensi kerajaan bagi mengesan serta menjejaki pelajar berisiko tercicir daripada sistem pendidikan.
“Maklumat pelajar berkenaan boleh disalurkan melalui saluran yang betul supaya ketua kampung atau wakil komuniti dapat menghubungi keluarga dan mengenal pasti bentuk bantuan diperlukan.
“Pendekatan secara langsung kepada keluarga penting bagi memastikan masalah seperti kekangan kewangan, pengangkutan, kekurangan kelengkapan sekolah dan keperluan khidmat kaunseling dapat ditangani lebih awal tanpa menghukum atau memalukan mereka,” katanya.-UTUSAN











