Toleransi agama kunci perpaduan negara

Toleransi agama kunci perpaduan negara

MASYARAKAT perlu dididik tentang adab dalam kehidupan beragama dan sifat saling menghormati antara penganut agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama, menekankan perpaduan dan keharmonian antara penganut pelbagai agama. Dalam usaha mengekalkan kestabilan sosial, masyarakat Malaysia perlu memahami dengan mendalam makna toleransi agama, yang bukan sahaja berperanan untuk menghormati hak orang lain dalam mengamalkan agama masing-masing, tetapi juga untuk memupuk perasaan hormat dan menghargai perbezaan. Memahami makna toleransi agama ini bukan sahaja penting bagi setiap individu, tetapi juga perlu diterapkan dalam kalangan golongan agamawan, ahli politik, dan media sebagai saluran utama untuk mendidik masyarakat, agar perkara berkaitan penghinaan agama dapat dielakkan. Ini adalah sejajar dengan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Perlembagaan Persekutuan adalah dokumen utama yang menggariskan prinsip-prinsip undang-undang yang membentuk asas negara. Di bawah Perkara 11, Perlembagaan memberikan kebebasan beragama kepada setiap individu. Ia menetapkan bahawa setiap orang berhak untuk memeluk dan mengamalkan agamanya dengan bebas, tetapi dengan batasan yang ditentukan oleh undang-undang. Kebebasan beragama yang diberikan ini merupakan salah satu hak asasi manusia yang dijamin di Malaysia.

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan agama Persekutuan, tetapi hak-hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka tidak boleh dicabuli. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mengiktiraf kepelbagaian agama dan menekankan bahawa semua agama harus dihormati dan dilayan dengan adil. Oleh itu, mana-mana tindakan yang menghina agama lain adalah bertentangan dengan nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan, kerana ia mencabar asas kebebasan beragama yang dihormati di negara ini.

Prinsip kedua Rukun Negara, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, dan prinsip keempat, Kesopanan dan Kesusilaan, menekankan pentingnya nilai saling menghormati dalam kehidupan bermasyarakat. Prinsip-prinsip ini juga menyentuh tentang keperluan untuk menjaga keharmonian antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Prinsip Rukun Negara ini mencerminkan nilai-nilai toleransi agama yang perlu diterapkan dalam kehidupan seharian. Masyarakat yang berpegang kepada prinsip-prinsip ini akan lebih cenderung untuk menjaga perasaan agama lain dan menghindari tindakan yang boleh menyinggung sensitiviti agama, seperti penghinaan terhadap agama tertentu.

Selain itu, prinsip Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara menuntut setiap individu dan institusi untuk menghormati dan mematuhi undang-undang negara. Ini termasuk undang-undang yang berkaitan dengan kebebasan beragama dan larangan terhadap penghinaan agama yang dapat menjejaskan keharmonian sosial.

Namun demikian isu penghinaan agama dalam kalangan rakyat Malaysia masih berlaku dan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat. Isu yang tular di media sosial tentang penyampai radio yang dikatakan menghina penganut agama Hindu dengan meniru aksi tarian perarakan Thaipusam sambil mempersenda dan gelak ketawa amat mengecewakan. Video yang tular telah mengundang reaksi negatif dan menjijikkan daripada pemilik akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ yang menghina agama Islam. Beliau kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi hantaran video terbaharu yang dimuat naik di Facebook.Menurutnya, tindakannya menghina agama Islam berpunca daripada kemarahan terhadap penularan video melibatkan penyampai sebuah stesen radio yang sebelum ini didakwa menghina agama Hindu.

Walaupun pesalah yang menghina agama telah memohon maaf, namun kerosakan telah pun berlaku. Persoalannya, wajarkah trend seperti ini dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan? Apakah jaminan bahawa hal seperti ini tidak akan berlaku lagi?

Untuk mengelakkan isu menghina agama terus berlaku dengan berleluasa dalam masyarakat maka sewajarnya mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada pelaku dan masyarakat umum. Permohonan maaf semata-mata tidak memadai memandangkan kerosakan yang telah dilakukan adalah besar dan serius.

Selain itu, masyarakat juga perlu dididik tentang adab dalam kehidupan beragama dan sifat saling menghormati antara penganut agama. Perlu dijelaskan di sini bahawa setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan, mahupun di platform media sosial.

Bagi mendidik masyarakat tentang adab dan toleransi beragama, golongan agamawan mempunyai peranan yang sangat besar. Sebagai pemimpin rohani dan guru agama, mereka perlu menekankan kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan hidup bersama dalam keharmonian. Setiap agama mengajarkan nilai-nilai kebaikan, dan menghormati agama orang lain. Kefahaman yang betul tentang falsafah beragama dapat membantu mengelakkan konflik yang berpunca daripada salah faham atau sikap tidak bertoleransi terhadap agama lain.

Tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir agamawan yang lebih cenderung untuk menimbulkan sentimen perbezaan agama demi kepentingan peribadi atau meraih populariti. Mereka menggunakan kedudukan mereka untuk memperbesar-besarkan perbezaan dan menyebarkan kebencian, yang akhirnya mencetuskan ketegangan dalam masyarakat. Justeru, golongan ini perlulah dipantau dan diberikan nasihat untuk tidak mengulangi kesilapan mereka.

Selain agamawan, ahli politik dan media juga memainkan peranan yang besar dalam memastikan nilai toleransi agama dipraktikkan dalam masyarakat. Ahli politik, sebagai pemimpin masyarakat, perlu mengelakkan ucapan dan tindakan yang boleh mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan. Mereka seharusnya menjadi pemangkin dalam menyebarkan mesej perpaduan serta memperjuangkan dasar-dasar yang mengekalkan keharmonian antara agama di Malaysia.

Media pula, sebagai medium utama penyebaran maklumat, mesti bertanggungjawab dalam melaporkan isu-isu agama dengan penuh sensitiviti. Pemberitaan yang adil dan beretika boleh mengelakkan provokasi yang boleh membawa kepada ketegangan antara agama. Media juga perlu menjadi platform untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai toleransi dan menghormati perbezaan.

Justeru, memaknai toleransi agama selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara adalah kunci kepada kestabilan sosial di negara ini. Setiap individu, golongan agamawan, ahli politik, dan media perlu memainkan peranan dalam memastikan masyarakat Malaysia dapat terus hidup dalam keadaan aman, harmoni, dan bersatu-padu. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Abd. Hakim Mohad ialah pensyarah di Pusat Pengajian Teras, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×