Rakyat China lebih cekap berbahasa Melayu daripada warga Malaysia

Rakyat China lebih cekap berbahasa Melayu daripada warga Malaysia

AMAT memalukan apabila rakyat China lebih menerima bahasa Melayu berbanding bangsa Cina di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA tentang perkembangan pesat pembelajaran bahasa Melayu di China, daripada satu segi, bukan sahaja amat menggembirakan tetapi membuat kita semua di Malaysia berasa megah kerana bahasa itu diterima di negara berstatus kuasa ekonomi itu.

Tetapi daripada segi lain, ia berupa tamparan hebat kepada kita kerana bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini tidak pun diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia sendiri, khususnya dalam kalangan etnik Cina. Dengan ini, berita itu bersifat ironi sekali.

Sewajarnya etnik Cina Malaysia mempunyai sebab yang jauh lebih baik lagi penting untuk menerima baik bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu adalah juga bahasa negara bagi mereka. Oleh itu, ia wajar sekali diketahui dengan baik, malah dihayati sedalam-dalamnya. Namun, ia ibarat jauh panggang dari api, iaitu tidak pun berlaku sebegitu seperti yang sepatutnya.

Sebaliknya mereka cuba mengelak untuk menerima bahasa Melayu, apatah lagi mahu dihayati. Ini dapat dilihat pada banyak kes. Antaranya yang ketara ialah apabila etnik Cina tidak mahu menerima cadangan kerajaan untuk memperkasa pengetahuan murid Cina yang rata-ratanya lemah dalam bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Semua alasan yang diutarakan, hanya helah belaka dan dangkal. Ini termasuklah kalih bahawa bahasa Melayu bukan bahasa ibunda etnik Cina menyebabkan ia tidak akan dapat dikuasai dengan baik. Tetapi kenyataan itu tidak tepat kerana dengan jelas murid Cina fasih sekali berbahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK). Ini bermakna helah yang digunakan juga bersifat cauvinis.

Antara yang selalu didendangkan mereka ialah cadangan itu akan menghakis identiti SJKC dan akhirnya menghapuskannya. Dalam hal ini, etnik Cina lupa bahawa SJKC adalah institusi pendidikan kerajaan yang menggunakan label kebangsaan. Dengan ini, ia sewajarnya memartabatkan bahasa Melayu selaku bahasa negara, iaitu sebagai identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Sebenarnya masalah etnik Cina tidak mahu menerima bahasa Melayu sudah lama wujud. Ia boleh sahaja dinafikan melalui pengakuan mereka sendiri yang keadaan sebenarnya tidak pun begitu. Namun, di sebalik penerimaan positif yang diakui itu, sikap negatif etnik Cina yang sebenarnya tercermin pada kelakuan mereka yang sama sekali tidak pun memperlihat pengakuan positif itu.

Kelakuan ini adalah banyak sekali, khususnya apabila etnik Cina tidak mahu menerima cadangan kerajaan, yang sebenarnya adalah dasar awam tentang bahasa Melayu selaku bahasa negara. Hal begitu selalu wujud setiap kali bahasa Melayu mahu diperkasa di SJKC untuk kebaikan murid Cina sendiri. Ia ditolak habis-habisan oleh mereka.

Sesungguhnya semua perkara ini jelas memperlihat sikap yang bukan sahaja sangat jelik, juga tidak sesuai sekali sebagai warganegara, lebih-lebih lagi di bumi Melayu-Islam yang didatangi etnik Cina sendiri. Sebenarnya kelakuan tidak semenggah itu sangat memeranjatkan banyak pihak di luar Malaysia, termasuk rakyat China yang mendapatinya pelik sekali selain amat tidak wajar.

Namun ia langsung tidak pun dirasai sebegitu oleh etnik Cina Malaysia yang masih terus-terusan mahu mencari helah untuk tidak menerima sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Dalam hal ini, etnik Cina wajib mempunyai sikap positif terhadapnya. Ini kerana pertama-tamanya bahasa Melayu adalah bahasa negara ini yang sekali gus berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Dengan ini, bahasa Melayu wajib dilihat oleh etnik Cina sebagai memiliki kimah kenegaraan yang tidak terhingga nilainya, untuk mereka ikut jayakan bersama-sama dengan yang lain.

Oleh itu, bahasa Melayu wajib diketahui dan dihayati tanpa ada apa-apa jua alasan, apatah lagi helah. Dengan ini, etnik Cina wajib memastikan mereka harus cekap dalam bahasa Melayu. Ini amat penting bukan sahaja kepada kerakyatan mereka di bumi Melayu-Islam tetapi sebagai ahli yang boleh berfungsi dengan baik dalam komuniti bahasa Melayu.

Selain soal kerakyatan itu, ketidakcekapan ini merupakan penghalang perpaduan negara. Ini tidak dapat dinafikan kerana etnik Cina yang tiada pengetahuan baik dalam bahasa Melayu, yang bukan sedikit jumlahnya, didapati hanya mampu hidup dalam dunia Cina sahaja walaupun berada di bumi Melayu-Islam.

Ini bermaksud dengan hanya fasih berbahasa Cina, dan tidak pun dalam bahasa lain, khususnya bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, walaupun yang mudah, mereka tidak mampu bergaul secara berkesan dengan etnik lain, khususnya Melayu sebagai kelompok asal, majoriti lagi dominan di negara ini. Sesungguhnya pergaulan ini penting sekali untuk pertama-tamanya mewujudkan perkenalan untuk perpaduan negara kemudiannya.

Dengan keadaan kebahasaan yang begini meleset, etnik Cina secara umumnya dilihat sebagai tidak cukup nasional, malah tidak nasional langsung. Ini kerana tidak terdapat di mana-mana negara berdaulat lain di dunia ini yang rakyatnya sendiri tidak mengetahui bahasa negara. Ia hanya berlaku di Malaysia.

Gejala ini yang ikut diteliti pihak di luar Malaysia sebagai memalukan kerana ia mempunyai impliasi buruk kepada proses pembentukan negara bangsa kita yang memang gagal, khususnya dari sisi kebahasaan ini untuk melahirkan rakyat yang memiliki nasionalisme dan patriotisme bahasa negara.

Sebenarnya etnik Cina Malaysia selalu hanya memikirkan kemakmuran ekonomi untuk diri dan etnik sendiri sahaja namun tidak mahu langsung mengimbanginya dengan kemakmuran sosial, khususnya yang untuk negara. Antara kemakmuran sosial itu ialah etnik Cina juga wajib memperaga identiti nasional dan budaya melalui pengetahuan baik dan penghayatan mendalam terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

JANGAN BIARKAN
Sebenarnya dengan keadaan begini, etnik Cina secara umumnya walaupun sebagai warganegara Malaysia, boleh dilihat sebagai masih berupa pendatang pada julat ekstemnya atau pada julat kurang ekstremnya sebagai orang asing.

Ini kerana dengan tiadanya pengetahuan baik terhadap bahasa Melayu, mereka boleh disamakan dengan orang asing lain yang tidak pun berasal dari negara ini.

Apatah lagi yang ada keterikatan nasionalistik lagi patriotik dengannya.

Sesuatu wajib perlu dilakukan segera untuk memperbetul dan memperbaik defisit bahasa Melayu dalam kalangan etnik Cina.

Hal tidak boleh dibiarkan terus wujud kerana ia sama sekali tidak baik untuk citra Malaysia dari banyak segi.-UTUSAN

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×