Teroka instrumen kewangan patuh syariah bantu tingkat dividen

Teroka instrumen kewangan patuh syariah bantu tingkat dividen

PERTUMBUHAN ekonomi negara yang kukuh menjadi pemangkin kepada peningkatan pulangan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), khususnya bagi Simpanan Syariah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENINGKATAN kadar dividen bagi Simpanan Syariah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada 6.3 peratus pada 2024, kini setara dengan Simpanan Konvensional, mencerminkan perubahan strategik ketara dalam pengurusan aset patuh syariah.

Kejayaan ini bukan sekadar hasil pertumbuhan pasaran, tetapi juga bukti keberkesanan langkah-langkah yang diambil KWSP dalam mengoptimumkan portfolio pelaburan.

Salah satu faktor utama menyumbang peningkatan ini ialah pemisahan penuh antara portfolio Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional yang berkuat kuasa sejak Januari 2024. Pemisahan ini membolehkan setiap portfolio beroperasi secara tersendiri, tanpa perlu bergantung kepada dana campuran.

Dengan pendekatan ini, KWSP dapat menyesuaikan strategi pelaburan bagi Simpanan Syariah untuk lebih fokus kepada aset yang berdaya saing dan memberikan pulangan lebih stabil.

Bukti kejayaan strategi ini dapat dilihat melalui peningkatan pendapatan pelaburan bagi Simpanan Syariah kepada RM10.87 bilion pada 2024.

Ini menunjukkan pelaburan dalam aset patuh syariah semakin menguntungkan dan mampu bersaing dengan aset konvensional.

Selain itu, ia juga membolehkan KWSP memanfaatkan peluang pelaburan yang lebih luas selaras dengan prinsip syariah, sekali gus mengurangkan risiko berkaitan turun naik pasaran global.

Pendekatan ini membuktikan pengurusan berhemat dan perancangan strategik mampu memastikan kestabilan serta daya saing Simpanan Syariah dalam jangka panjang.

Keputusan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pencarum yang memilih Simpanan Syariah, tetapi juga memperkukuh kedudukan KWSP sebagai institusi pelaburan yang cekap dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global.

Dengan ekuiti sebagai penyumbang terbesar pendapatan pelaburan KWSP, pemulihan pasaran saham, termasuk saham patuh syariah, memberi kesan langsung kepada pulangan pelaburan dan seterusnya meningkatkan agihan dividen kepada pencarum.

Bukti jelas dapat dilihat melalui prestasi pasaran saham Malaysia yang kukuh pada 2024. Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak sebanyak 12.9 peratus. Peningkatan dua angka yang menunjukkan keyakinan pelabur terhadap pasaran domestik.

Kenaikan ini memberi kesan positif kepada pelaburan ekuiti KWSP secara keseluruhan, termasuk portfolio Simpanan Syariah.

Dari sudut pulangan pelaburan, ekuiti KWSP mencatatkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 9.90 peratus, manakala ekuiti persendirian, yang merangkumi hampir 10 peratus daripada pelaburan ekuiti KWSP, mencapai ROI lebih tinggi iaitu 11.33 peratus. Ini menunjukkan pelaburan dalam ekuiti, termasuk berlandaskan prinsip syariah, bukan sahaja mampu bersaing tetapi juga menawarkan pulangan kompetitif dalam keadaan pasaran mencabar.

Kecekapan pengurusan dana KWSP dalam memanfaatkan ketidaktentuan pasaran turut memainkan peranan penting dalam memastikan pulangan pelaburan kekal tinggi.

Strategi pelaburan fleksibel dan keupayaan untuk mengenal pasti peluang dalam pasaran tidak menentu membolehkan KWSP mengoptimumkan keuntungan, sekali gus menyumbang kadar dividen yang lebih baik untuk Simpanan Syariah.

Ini membuktikan strategi pelaburan secara mantap dan pengurusan risiko yang berkesan dapat memastikan pulangan mampan bagi pencarum, terutama bagi mereka yang memilih instrumen kewangan ini.

Ketidaktentuan pasaran global pada tahun lalu menuntut strategi pelaburan yang lebih fleksibel dan berdaya tahan, khususnya bagi memastikan kestabilan pulangan Simpanan Syariah.

Dalam menghadapi cabaran ini, pendekatan Alokasi Aset Strategik (SAA) memainkan peranan penting dalam mengimbangi risiko dan pulangan, memastikan kestabilan jangka panjang portfolio pelaburan serta dividen yang mampan kepada pencarum.
Salah satu faktor utama menyokong pertumbuhan pulangan Simpanan Syariah ialah keseimbangan antara pelaburan domestik dan global.

KWSP melaburkan 63 peratus daripada aset pelaburannya dalam pasaran domestik, yang menghasilkan pendapatan sebanyak RM37.02 bilion atau 49.7 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

Kebergantungan terhadap pasaran tempatan ini memberi kelebihan dalam memastikan kestabilan pulangan, terutamanya dengan sokongan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh.

Pada masa sama, pelaburan dalam aset global menyumbang RM37.44 bilion atau 50.3 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, memberikan kepelbagaian dan daya tahan terhadap turun naik pasaran tempatan.

Kepelbagaian ini amat penting dalam memastikan Simpanan Syariah terus meraih pulangan kompetitif walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar.

Selain itu, pelaburan dalam sektor hartanah dan infrastruktur mencatatkan ROI sebanyak 5.13 peratus, membantu menstabilkan pulangan jangka panjang bagi Simpanan Syariah.

Dengan mengambil kira pulangan mampan daripada aset ini, KWSP berjaya meningkatkan kadar dividen Simpanan Syariah pada paras 6.3 peratus.

Pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh pada 5.1 peratus berbanding 3.6 peratus pada 2023, memberi impak positif kepada pasaran modal dan daya saing pelaburan, sekali gus menyokong peningkatan kadar dividen kepada 6.3 peratus.

Selain itu, dasar kerajaan yang progresif di bawah inisiatif Ekonomi Madani dan Belanjawan 2024 berjaya menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik.

Peningkatan pelaburan ini membolehkan KWSP menyusun strategi portfolio dengan lebih berkesan, khususnya bagi memastikan pulangan Simpanan Syariah kekal berdaya saing.

Keadaan ekonomi yang stabil turut memberi kelebihan kepada prestasi pelaburan KWSP.

Inflasi yang terkawal dan pasaran buruh sihat merangsang permintaan domestik, meningkatkan aktiviti ekonomi dan secara tidak langsung menyokong pertumbuhan aset pelaburan KWSP.

Lebih penting lagi, keyakinan pencarum terhadap sistem KWSP terus meningkat, seperti ditunjukkan oleh pertambahan caruman bersih sebanyak 11 peratus.

MASIH AWAL

Bagi Simpanan Syariah, pemisahan portfolio memberi peluang untuk strategi pelaburan lebih tersendiri, tetapi cabarannya adalah keterbatasan pilihan aset patuh syariah yang kompetitif dalam pasaran.

Walaupun Simpanan Syariah kini menyamai Simpanan Konvensional dari segi dividen, masih terlalu awal untuk menyimpulkan ia akan mengatasi pulangan Simpanan Konvensional dalam jangka panjang.

KWSP perlu terus memperkukuh kepelbagaian pelaburan serta meneroka instrumen kewangan patuh syariah yang lebih inovatif untuk memastikan daya saingnya berterusan.-UTUSAN

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Wang dan Bank Universiti Utara Malaysia (UUM) dan AJK Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×