Perkahwinan adalah perkongsian hidup yang memerlukan komunikasi, tanggungjawab dan kerjasama.
Jika hanya salah satu pihak mengawal tanpa memberi , ia tentu sekali bertentangan dengan prinsip asas perkahwinan yang saling melengkapi.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Husna, (bukan nama sebenar) wanita cekal yang terlibat dalam bebanan emosi selama hampir 20 tahun selepas suami terlalu mengawal, tidak benarkan dia bekerja namun tidak menyediakan keperluan mencukupi kepada keluarga.
Memulakan cerita pada pertemuan dengan saya baru-baru ini, kata Husna, dia berhenti kerja pada penghujung Mei tahun 2002 atas permintaan suaminya, Munir (bukan nama sebenar).
Munir memberi alasan seorang isteri tidak perlu bekerja dan seharusnya tinggal di rumah menjaga keperluan suami dan anak-anak.
Ketika itu, mereka mempunyai sepasang cahaya mata, Ainol dan Danial (bukan nama sebenar), masing-masing berusia dua tahun dan tiga bulan.
Husna yang dahulunya seorang wanita berdikari, memiliki kerjaya stabil dan masa hadapan cerah akhirnya memilih untuk berhenti kerja.
Atas dasar menghormati dan kepercayaan, Husna akur dengan permintaan suami walaupun hati berbelah bahagi.
Suaminya yang bekerja sebagai penjawat awam berjanji akan menanggung segala perbelanjaan keluarga.
“Dengan sepenuh kepercayaan saya menurut permintaan suami, dan yakin dia akan menjaga kebajikan kami sekeluarga,” ujarnya.
Namun, memasuki tahun pertama selepas dia berhenti kerja, masalah mula timbul.
Cabaran kewangan mula menghimpit keluarga mereka.
Pendapatan Munir semakin tidak mencukupi untuk menampung keperluan rumah tangga dengan kos hidup semakin meningkat.
Munir hanya menyediakan keperluan asas ala kadar, malah kerap mengabaikan keperluan lain seperti bayaran bil utiliti dan hutang kenderaan serta rumah.
Kata Husna, dia terpaksa meminjam daripada keluarga dan kawan-kawan senyap-senyap untuk menampung perbelanjaan harian.
Dalam masa sama, panggilan daripada pemungut hutang semakin kerap.
“Saya benar-benar tertekan. Setiap bulan saya yang perlu menghadap panggilan pihak bank menuntut bayaran rumah dan kenderaan atas nama saya.
“Bila ditanya suami, katanya wang belum mencukupi untuk menjelaskan bayaran,” luahnya.
Sambung Husna, dia cuba bersabar dan mengingatkan diri sendiri ini mungkin hanya fasa sukar dalam perkahwinan.
Melihat keadaan itu, dia cuba berbincang dengan suami, agar mengizinkannya untuk keluar bekerja.
“Saya terkejut suami marah-marah. Dia menyalahkan saya seolah-olah saya tidak cuba memahaminya.
“Paling mengecewakan, suami menyalahkan saya kerana tidak membantu kewangan, walaupun dia sendiri yang meminta saya berhenti kerja,” ujarnya lagi.
Kata-kata suami benar-benar menghancurkan hatinya. Dia benar-benar berasa tidak dihargai, walaupun telah berkorban untuk memenuhi permintaan suami sebelum itu.
Hari memasuki minggu, minggu menjengah bulan. Bulan pula beralih tahun.
Keadaan semakin tidak terkawal apabila tunggakan hutang semakin bertambah.
Anak-anak pula semakin membesar. Husna mula mengalami tekanan emosi kerana suami langsung tidak menunjukkan sebarang kerisauan atau usaha untuk berubah .
Husna mula terperangkap. Dia tidak mempunyai sumber kewangan sendiri, tidak dibenarkan bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada Munir.
Walaupun dia kelihatan tabah di depan orang lain, hakikatnya sedang menanggung tekanan emosi yang hebat.
Melihat keadaan semakin sukar, tanpa pengetahuan suami, dia mula mencari pekerjaan secara senyap dan mendapat tawaran sebagai kerani di salah sebuah kilang berhampiran tempat tinggal mereka.
Husna sekali lagi berbincang dengan suami untuk kembali bekerja.
Akhirnya, suami mengalah walaupun mungkin egonya tercalar.
“Saya dibenarkan bekerja semula pada awal 2018. Alhamdulilah, keadaan kewangan kami mulai stabil selepas itu,” kata Husna.
Namun, perubahan itu membawa kesan lain.
Suami mula semakin menunjukkan sikap tidak peduli dan culas dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Segala hutang bulanan kenderaan, rumah dan keperluan harian segala-galanya diserah kepada saya sepenuhnya.
“Sampai cukup bulan sementara menunggu gaji, suami hanya tahu meminta wang untuk perbelanjaan peribadinya,” kata wanita berusia awal 40-an itu.
Situasi menjadi semakin buruk apabila suami mula membazirkan wang pada perkara tidak penting seperti aktiviti bermotosikal.
Pada awalnya, Husna tidak kisah. Dia faham suaminya perlukan masa untuk diri sendiri.
Namun lama-kelamaan, hobi itu menjadi gaya hidup.
Munir mula menghabiskan lebih banyak masa dengan rakan-rakan kelab motosikal berbanding bersama keluarga.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila Munir mula membelanjakan sebahagian besar gajinya untuk mengubahsuai motosikal.
Husna semakin tertekan. Selain terpaksa membayar hutang kenderaan dan rumah yang tertunggak, dia terpaksa pula memikirkan cara untuk menampung keperluan harian mereka.
Munir sudah tidak lagi menghulurkan perbelanjaan dengan alasan dia sudah mempunyai gaji sendiri.
Walaupun kecewa, Husna memilih untuk bertahan.
Ketika saya bertanya, mengapa dia masih bersama Munir, jawapannya penuh dengan rasa pasrah.
“Saya masih memikirkan anak-anak,” ujarnya.
Husna percaya, walaupun jalan hidupnya penuh liku, dia akan terus berjuang demi anak-anak dan masa depan mereka.
Sebelum mengakhiri perbualan, Husna sempat menitip pesan kepada wanita di luar sana sebelum membuat keputusan besar seperti berhenti kerja, pastikan ada jaminan kewangan yang kukuh dan suami benar-benar bertanggungjawab.
Kisah Husna ini adalah cerminan realiti pahit yang dihadapi ramai wanita di luar sana.
Ia memberi peringatan kepada kita semua tentang pentingnya keadilan, tanggungjawab dan penghormatan dalam perkahwinan.
Sesungguhnya dalam melayari bahtera kehidupan berumahtangga, setiap daripada kita wajib berlaku adil kepada pasangan masing-masing dengan melaksanakan tanggungjawab.
Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud, “ Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu itu) dengan cara yang baik.Kemudian jika kamu (rasa) benci kepada mereka, (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu),”(Surah an-Nisa ayat 19).-UTUSAN










