BNM kekalkan OPR

BNM kekalkan OPR pada 3.0 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk 2025 semalam.

Bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan.

Menurut BNM, ekonomi global mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024.

“Keadaan ini mencerminkan pertumbuhan sebenar yang lebih baik di ekonomi-ekonomi utama dan perdagangan global yang lebih kukuh.

“Bagi 2025, ekonomi global dijangka mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat.

“Perdagangan global dijangka kekal mampan secara keseluruhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.

“Namun, prospek ini boleh dipengaruhi oleh ketidakpastian berhubung dengan sekatan perdagangan dan pelaburan yang lebih banyak,” katanya.

Mengenai ekonomi Malaysia, pertumbuhan keseluruhan bagi 2024 berada pada kadar yang dijangkakan.

BNM berkata, pada masa hadapan, kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada tahun 2025, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah-langkah dasar, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam, akan menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan yang mantap akan diteruskan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta inisiatif pemangkin yang terus dilaksanakan di bawah beberapa pelan induk nasional.

“Pelaburan ini yang disokong oleh modal import yang lebih tinggi akan meningkatkan eksport dan mengembangkan keupayaan pengeluaran ekonomi.

“Pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas,” katanya.

BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata sebanyak 1.8 peratus pada 2024.

“Pada 2025, inflasi dijangka kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan.

“Harga komoditi global dijangka terus menunjukkan trend menurun, menyumbang kepada keadaan kos yang sederhana pada jangka masa terdekat,” katanya.

Dalam persekitaran ini, kesan keseluruhan langkah-langkah pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan baru-baru ini terhadap inflasi dijangka terkawal.

“Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri dan harga komoditi global serta perkembangan pasaran kewangan,” katanya.

Selain itu, prestasi ringgit terus didorong terutamanya oleh faktor luaran.

“Perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara Malaysia dengan ekonomi-ekonomi maju adalah positif untuk ringgit.

“Walaupun pasaran kewangan mungkin menghadapi tempoh volatiliti disebabkan oleh ketidakpastian dasar-dasar global, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, berserta inisiatif yang sedang dilaksanakan untuk menggalakkan aliran dana, akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini