Pembakaran pokok Krismas cetus protes di Syria

Pembakaran pokok Krismas cetus protes di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Protes tercetus di Syria susulan insiden pembakaran pokok Krismas, mendorong desakan supaya pihak berkuasa Islam yang baharu mengambil langkah melindungi golongan minoriti negara itu.

Sebuah video yang disiarkan di media sosial menunjukkan pokok tersebut terbakar di dataran utama Suqaylabiyah, sebuah bandar di tengah Syria yang majoriti penduduk adalah Kristian.

Rakaman media sosial menunjukkan lelaki bertopeng menyiram pokok Krismas terbabit dengan cecair tidak diketahui pada malam sebelum penganut Kristian di Syria bersiap sedia untuk menyambut perayaan itu.

Susulan insiden tersebut, ramai penunjuk perasaan turun ke jalanan, termasuk di beberapa bahagian di Damsyik.

Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kumpulan pejuang yang mengetuai penggulingan Presiden Bashar al-Assad, memaklumkan pejuang asing ditahan berhubung insiden itu.

Wakil HTS berjanji untuk melindungi hak dan kebebasan agama serta etnik minoriti di Syria.

Beberapa penunjuk perasaan di kejiranan Kassa di Damsyik melaungkan penentangan terhadap pejuang asing di Syria.

“Syria kini bebas, bukan rakyat Syria harus pergi,” kata mereka, merujuk kepada pejuang asing yang didakwa HTS mendalangi serangan itu.

Syria merupakan rumah kepada pelbagai kumpulan etnik dan agama, termasuk Kurdi, Armenia, Assyria, Kristian, Druze, Alawite Syiah dan Arab Sunni, yang membentuk majoriti penduduk Islam.

Lebih dua minggu lalu, pemerintahan Assad jatuh ke tangan pejuang, menamatkan pemerintahan kuku besi selama lebih 50 tahun.

Sejak itu, ramai rakyat Syria yang terpaksa berpindah mula kembali ke rumah mereka.

Semalam, Turkiye melaporkan lebih daripada 25,000 rakyat Syria sudah pulang ke negara mereka.– BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×