JASIN: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Perumpamaan itu bertepatan menggambarkan kehidupan daif pasangan suami isteri yang terpaksa menjadikan sebuah khemah sebagai tempat tinggal mereka berdua di Kampung Kemengkang, Kesang Tua di sini.
Lebih memilukan, tempat tidur Nordin Abu Seman, 51, dan isterinya, Suzie Azita Md. Zahid, 52, hanya menggunakan khemah dengan sebuah katil bujang manakala peralatan lain seperti peti ais diletakkan di bahagian luar.
Memburukkan keadaan apabila Suzie Azita tidak dapat bergerak dan perlu menggunakan tongkat akibat serangan angin ahmar sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menetap di Taman Tun Perak, Cheras, Selangor.
Kata Suzie, ketika itu dia membuka rumah penjagaan kanak-kanak manakala suami menjual burger tidak jauh dari tempat tinggal mereka namun serangan angin ahmar dihadapi memaksa suaminya berhenti berniaga dan sejak itu pasangan ini hilang sumber pendapatan.
“Kehidupan kami sangat teruk walaupun selepas PKP, suami tidak ada sumber pendapatan tetap, apatah lagi saya tidak mampu bekerja lalu memaksa kami pulang ke Melaka ke Masjid Tanah dan seterusnya di Kampung Kemengkang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Suzie berkata, usaha membina rumah baharu tidak kesampaian kerana terbengkalai walaupun sudah belanja RM20,000.
Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd. Raziff Yakop berkata, kisah pasangan itu mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Pejabat Pembangunan Negeri Melaka, Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
MAIM bersetuju membiayai sewa rumah bernilai RM400 sebulan, di samping beberapa bantuan lain akan disalurkan dalam masa terdekat dan turut mengusahakan untuk membina rumah menerusi skim Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tapak khemah yang didiami pasangan itu tahun depan.-UTUSAN











