'Serik 40 kali pindah ke PPS’

‘Serik 40 kali pindah ke PPS’

AMINAH Awang Hitam ditemani cucunya ketika ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Teh di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang warga emas serik dan penat kerana sudah 40 kali sejak usia muda, ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan banjir kerap kali melanda rumahnya di Kampung Paya Teh, di sini.

Aminah Awang Hitam, 73, berkata, sejak arwah suaminya membina rumah pusaka ber­kenaan 30 tahun lalu, mereka kerap berdepan ancaman banjir setiap kali musim tengkujuh kerana terletak berdekatan Su­ngai Pahang di daerah ini.

“Seingat saya, sudah hampir 40 kali berpindah ke PPS di balai raya, dewan kampung ini dan sejak tahun kebelakangan ini, ditempatkan pula di PPS Sekolah Kebangsaan Teh.

“Sebelum ini, kadangkala dua kali setahun saya berpindah ke PPS selama antara dua hingga lima hari dan paling lama selama dua minggu ketika banjir besar 2014,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Aminah sudah serik dan jika boleh tidak mahu lagi berpindah ke PPS kerana menyusahkan diri dan anaknya yang terpaksa mengemas serta mengangkut peralatan rumah ke tempat selamat setiap kali bencana itu berlaku.

“Saya rasa sangat letih, serik dan kecewa malah jemu setiap kali tiba musim tengkujuh ke­rana rutin yang perlu dilakukan, seperti mengemas barang dan menyimpan ke tempat selamat selain perlu diangkut berpindah ke PPS termasuk membersihkan kediaman selepas banjir.

“Ekoran kerja berat sebelum, semasa dan selepas banjir sejak sekian lama menyebabkan kesihatan saya terganggu apabila tidak boleh duduk atas lantai termasuk tidak boleh berdiri lama, sebaliknya hanya boleh duduk atas kerusi,” katanya.

Warga emas 12 anak itu kini tinggal bersendirian kerana semua anak-anaknya tidak lagi tinggal sebumbung dengannya.

“Jika banjir, anak yang tinggal berdekatan sahaja datang membantu mengemas barang dan berpindah,” katanya.

Dianggarkan RM2,000 hingga RM5,000 digunakan untuk membaiki rumah yang rosak dan kerja pembersihan setiap kali banjir melanda kediamannya.

Arwah suaminya pernah mengeluarkan belanja lebih RM10,000 untuk membina rumah rakit dan menyediakan tong plastik sewaktu bah merah 2014. – BANJIR

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×