16,157 PPS ditempatkan di 10,259 sekolah seluruh negara

16,157 PPS ditempatkan di 10,259 sekolah seluruh negara

NOOR HISAM NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan 16,157 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di 10,259 sekolah di seluruh negara bagi mengesan tanda awal buli dan ancaman keselamatan sebelum masalah itu berkembang menjadi kes jenayah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pegawai Perhubungan Sekolah dalam kalangan pegawai dan anggota polis berpe­ranan membuat rondaan secara berkala untuk meneliti perkembangan disiplin serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan khususnya sekolah berisiko dan mempunyai rekod disiplin.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, beberapa kejadian sebelum ini menjadi peringatan supaya tanda awal buli dan ancaman keselamatan di sekolah perlu dikesan lebih awal sebelum berkembang menjadi kes jenayah.

Justeru itu katanya, polis kini memberi tumpuan mengesan tanda awal buli dan ancaman keselamatan di sekolah sebelum masalah itu berkembang menjadi kes jenayah menerusi pe­nempatan Pegawai Perhubu­ngan Sekolah dalam kalangan warga PDRM.

Noor Hisam menjelaskan, pegawai atau anggota polis terlibat perlu membuat lawatan atau rondaan ke secara berkala untuk meneliti perkembangan disiplin serta mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan khususnya sekolah berisiko dan mempunyai rekod jenayah.

“Pengenalpastian sekolah be­risiko dilaksanakan menerusi pendekatan kepolisan berasaskan risiko dengan mengambil kira beberapa indikator. Antaranya termasuk rekod jenayah dan kes disiplin, kes buli dan pergaduhan, ancaman atau ugu­tan terhadap pelajar, gangguan seksual, penyalahgunaan dadah serta konflik antara pelajar atau kumpulan.

“Laporan guru, kaunselor dan ibu bapa, maklumat risikan polis, keadaan persekitaran fizikal sekolah serta trend kes yang berlaku dari semasa ke semasa juga boleh dijadikan indikator.

“Sekolah yang mempu­nyai kombinasi beberapa faktor risiko perlu diberikan tahap pemantauan lebih tinggi dan kita tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku kejadian serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, Pegawai Perhubungan Sekolah bukan sekadar menjadi penghubung antara polis dengan pihak sekolah, sebaliknya perlu bergerak secara lebih proaktif dalam mengesan tanda awal konflik, buli, ancaman ke­selamatan dan masalah disiplin.

Beliau berkata, pendekatan itu membolehkan polis mengenal pasti sekolah yang memerlukan intervensi lebih awal dan seterusnya menentukan tahap kehadiran Pegawai Perhubu­ngan Sekolah berdasarkan ke­perluan sebenar.

“Sekolah yang mempunyai sejarah kes buli, pergaduhan, ancaman keselamatan, penya­lahgunaan dadah, gangguan seksual atau isu disiplin yang serius perlu diberikan pemantauan yang lebih kerap.

“Pada masa sama, Pegawai Perhubungan Sekolah perlu bergerak daripada pendekatan reactive kepada proactive poli­cing iaitu mengenal pasti tanda-tanda awal sesuatu konflik sebelum ia berkembang menjadi kes jenayah,” katanya

Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, keberkesanan Pegawai Perhubungan Sekolah perlu dinilai secara berkala dan tidak wajar hanya berdasarkan jumlah kehadiran atau lawatan ke sekolah.

Katanya, penilaian perlu me­lihat kepada hasil yang dicapai melalui peranan PPS.

“Antaranya berapa banyak sesi engagement dilaksanakan, berapa isu keselamatan dikenal pasti lebih awal, berapa laporan atau maklumat disalurkan kepada polis dan tempoh tindakan selepas sesuatu maklumat di­terima.

“Kita juga perlu melihat kes berulang di sekolah berkenaan serta tahap kerjasama PPS dengan pihak sekolah,” ujarnya.

Menurut beliau, guru turut mempunyai peranan dalam menilai keberkesanan usaha itu dan sebarang ketidakpatuhan dari segi kehadiran boleh dimaklumkan kepada Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM.

Katanya, laporan berkaitan Pegawai Perhubungan Sekolah turut dihantar setiap bulan kepada pihaknya bagi memboleh­kan prestasi serta keperluan intervensi tambahan dikenal pasti.

“Dengan pendekatan ini, kita boleh mengenal pasti PPS atau sekolah yang memerlukan intervensi tambahan, bukannya sekadar memenuhi KPI keha­diran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN