GEORGE TOWN: Guru kaunseling perlu mainkan peranan dengan lebih aktif dalam memberikan pandangan serta pedoman kepada para pelajar agar mereka memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pilihan utama.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam hal ini, pihaknya juga telah melaksanakan beberapa sesi libat urus antara guru kaunseling serta pemain industri STEM agar mereka mempunyai maklumat terkini dalam bidang berkenaan sebelum menyalurkan informasi tersebut kepada para pelajar.
“Kita juga bagi mereka peluang untuk mendapatkan maklumat sebanyak mungkin menerusi seminar dan sesi bersama dengan pihak-pihak yang berkepentingan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutup program USM STEM Week 2024 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, semalam.
Program USM STEM Week 2024 itu melibatkan penyertaan daripada 15 buah Pusat Pengajian Sains, Teknologi dan Kejuruteraan yang terdiri daripada tiga kampus iaitu kampus induk, kampus kejuruteraan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) serta enam rakan kolaborasi.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, sokongan daripada pasukan guru kaunseling amat diperlukan untuk memberi pedoman kepada para pelajar mengenai bidang yang sesuai untuk mereka.
“Jadi, apabila kita ada pasukan guru kaunseling yang boleh memberi pedoman yang lebih efektif melalui intervensi dengan pemain industri ini, kita harap perjuangan untuk melonjakkan pelajar STEM akan lebih meningkat,” katanya.
Selain itu katanya, sokongan daripada ibu bapa juga amat penting dalam membantu anak-anak mereka untuk memilih bidang STEM sebagai aliran utama pembelajaran.
“Antara cabaran utama ialah bagaimana untuk meyakinkan ibu bapa agar menyokong anak-anak mereka untuk memilih bidang STEM sebagai aliran utama.
“Disebabkan itu sesi libat urus juga dilaksanakan antara ibu bapa agar mereka ada akses dan maklumat mengenai prospek kerjaya dalam bidang STEM,” katanya. – UTUSAN










