GAZA: Sekurang-kurangnya 28 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel terhadap sebuah sekolah yang menempatkan orang awam hilang tempat tinggal di Gaza, semalam.
Kementerian Kesihatan Gaza dalam kenyataan berkata, sekitar 54 orang yang lain cedera dalam serangan yang menyasarkan Sekolah Rufaida di bandar Deir al-Balah.
Menurut pejabat media kerajaan Gaza, tentera Israel sedar ribuan kanak-kanak dan wanita yang diusir dari rumah mereka berlindung di sekolah berkenaan.
Pejabat itu berkata, kira-kira 190 tempat perlindungan dibom oleh tentera Israel sejak tercetusnya perang Israel di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.
“Jenayah baharu ini berlaku ketika keadaan kesihatan di tengah Gaza, yang menempatkan lebih sejuta penduduk, semakin sukar,” katanya.
Israel kerap menyasarkan kemudahan awam, termasuk sekolah, hospital dan tempat ibadat, ketika rejim menggiatkan serangannya di Gaza.
Di bawah peraturan perang, serangan menyasarkan kemudahan awam boleh menjadi jenayah perang.
Sehingga kini, serangan rejim di Gaza membunuh lebih 42,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala hampir 97,900 yang lain cedera.- AGENSI











