Bolehkah mandulkan pesalah rogol?

Bolehkah mandulkan pesalah rogol?

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sudah tiba masanya Malaysia mencontohi negara luar termasuk Indonesia dalam mempertimbangkan pelaksanaan hukuman lebih berat terhadap pesalah jenayah seksual, termasuk melakukan kembiri secara kimia terhadap perogol.

Dilaporkan, jenayah rogol membabitkan gadis bawah umur meningkat dalam tempoh tiga tahun lepas dengan sebanyak 1,299 kes direkodkan pada 2021; 1,388 kes pada 2022 dan 1,590 kes pada 2023.

Trend sama turut direkodkan jenayah rogol secara berkumpulan melibatkan gadis bawah umur dengan 61 kes dilaporkan pada 2021; 103 kes pada 2022 dan 104 kes pada 2023.

Mengulas perkara itu, Ketua Kluster Politik, Governans dan Perundangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, apa sahaja hukuman lebih berat terhadap perogo, terutamanya sehingga menyebabkan trauma fizikal dan emosi terhadap mangsa boleh dipertimbangkan dengan serius.

Katanya, memandulkan perogol adalah satu hukuman yang mempunyai kesan seumur hidup kepada pesalah terbabit dan ia merupakan ‘sesuatu’ yang besar.

“Namun kajian perbandingan perlu dibuat untuk melihat keberkesanan secara am. Kajian bagaimana hukuman itu dijalankan, samada hukuman untuk semua jenis rogol terhadap kanak-kanak atau sesetengah kesalahan sahaja,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Difahamkan, Denmark menjadi negara terawal melaksanakan hukuman kembiri kimia pada 1929 selain Korea Selatan, United Kingdom, Argentina, Poland serta sekurang-kurangnya lapan negeri di Amerika Syarikat.

Indonesia menggubal hukuman kembiri kimia terhadap pesalah rogol pada 2016 dan ia dilaporkan kali pertama dilaksanakan pada 2019.

Dilaporkan, kembiri kimia merupakan prosedur suntikan ubat antiantrogen untuk menghalang fungsi testosteron yang merupakan hormon seks utama lelaki.

Dalam pada itu, Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, bentuk hukuman itu perlu kajian lebih rapi dan teliti bagi memastikan sesuai dilaksanakan di negara ini atau sebaliknya.

Sebagai contoh, membabitkan jenayah rogol yang menyebabkan kecacatan fizikal kekal kepada mangsa, kesalahan berulang, sumbang mahram dan kanak-kanak.

“Undang-undang tidak boleh dibuat sekelip mata. Kena kajian rapi dari banyak sudut (sama ada) aspek perubatan, mental dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya. Kalau sesuai, baru buat pindaan.

“(Jadi), macam-macam cara boleh mendidik untuk mencegah (jenayah rogol) sama ada melalui di sekolah atau masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sebarang bentuk hukuman yang mahu dicadangkan perlu mengambil kira struktur majoriti masyarakat di negara ini.

Justeru, katanya, Malaysia disarankan melaksanakan undang-undang Islam bagi mencegah jenayah rogol kerana majoriti rakyat negara ini beragama Islam dan Islam merupakan agama Persekutuan.

“Mengikut pandangan ulama, kedudukan kesalahan bagi rogol dilihat dari aspek satu daripada dua kesalahan jenayah, sama ada pencerobohan hak (i’tida alal hurmah) di bawah kategori yang sama dengan hirabah atau di bawah kategori zina dengan mengambil kira lain-lain pertimbangan seperti status perogol dan orang yang dirogol serta perlu melalui bukti keterangan yang ketat.

“Hukuman bagi kesalahan hirabah apabila cukup bukti dan syarat dihukum potong tangan dan kaki secara bersilang. Ini kerana kesalahan hirabah mempunyai unsur kekerasan. Hukuman bagi kesalahan zina pula bergantung sama ada pelaku itu sudah berkahwin atau tidak, begitu juga faktor cukup umur atau tidak.

“Dalam penentuan hukuman bagi jenayah rogol, maka pemerintah boleh menimbangkan dua aspek tersebut. Pemerintah juga boleh mengenakan hukuman takzir mengikut kaedah syarak atas sebab-sebab tertentu,” katanya.

Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Tambi pula berpandangan, suntikan kembiri kimia menyekat tindak balas hormon testosteron dalam badan lelaki.

Katanya, apabila hormon tersebut tidak ada, maka syahwat, perasaan dan naluri lelaki itu terhadap seks boleh menurun dan hilang.

“Suntikan ubat itu perlu diberi secara berterusan seumur hidup. Kalau ubat itu berhenti, maka akan kembali kepada sedia kala.

“Jadi selagi rawatan diberi kepada individu itu, sebagai contoh sepanjang menjalani hukuman penjara, suntikan diberikan mengikut jadual, selagi itu tindak balas berlaku.

“Soalnya macam mana nak pastikan rawatan itu diberi (berterusan selepas keluar dari penjara ) supaya benar-benar beri kesan yang diharapkan,” katanya.

Justeru, katanya, satu lagi prosedur kembiri secara fizikal dengan memotong buang buah zakar bukan sahaja membantu menghilangkan hormon, malah memandulkan pesalah seks secara kekal.

“Namun, kaedah itu dianggap sebagai tidak berperikemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×