Kerajaan ambil langkah berjimat, tiada rumah terbuka Aidilfitri - PM

Kerajaan ambil langkah berjimat, tiada rumah terbuka Aidilfitri – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan mengambil langkah penjimatan termasuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat sebagai mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan secara lebih cermat dan sederhana ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik berkenaan.

Menurut beliau, langkah tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang turut menilai perkembangan semasa di rantau berkenaan.

“Saya telah memutuskan bersama dengan Jemaah Menteri supaya semua agensi kerajaan dan GLIC tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka.

“Ia memberikan satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana,” katanya dalam sidang akhbar khas di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut mengehadkan lawatan luar negara melibatkan menteri serta anggota pentadbiran.

Katanya, kunjungan luar negara hanya dibenarkan sekiranya melibatkan program yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri.

“Untuk itu juga menteri dan seluruh anggota pentadbiran serta jabatan-jabatan dihadkan lawatan ataupun kunjungan luar negara melainkan yang memang dalam jadual yang wajib dihadiri,” katanya.

Menurut beliau, langkah berjimat berkenaan diambil walaupun bekalan minyak dan gas negara masih mencukupi serta harga bahan api utama dapat dikekalkan.

Beliau berkata, pendekatan tersebut merupakan langkah berwaspada supaya negara tidak terperangkap sekiranya keadaan global bertambah buruk.

“Ada yang bertanya jika keadaan terkawal dan bekalan masih mencukupi, apa keperluan kita berjimat.

“Saya kata ini langkah waras supaya kita tidak terjebak dengan keadaan yang lebih parah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik Asia Barat secara dekat bagi menilai kesan terhadap ekonomi dan kedudukan fiskal negara.

Menurutnya, satu mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan pada Jumaat, 13 Mac ini bagi meneliti perkembangan semasa serta menentukan langkah seterusnya yang perlu diambil kerajaan.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan memberi ruang kepada Jemaah Menteri mengkaji kedudukan fiskal negara selain memantau perkembangan konflik secara lebih dekat.

“Ini akan memberi ruang Jemaah Menteri meneliti kedudukan fiskal negara, memantau perkembangan semasa secara lebih nyata dan menentukan langkah seterusnya yang harus kita tangani,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berwaspada serta bekerjasama dengan semua pihak termasuk sektor swasta bagi memastikan negara mampu menangani cabaran semasa dengan baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN