PETALING JAYA: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas kelab Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) sebagai suntikan keyakinan besar buat pasukannya.
Selepas melalui tiga kekalahan berturut-turut sebelum ini, Aidil ternyata puas apabila aksi di laman sendiri di Stadium Taha Ariffin menghasilkan tiga mata penting untuk skuad kendaliannya di pentas Asia.
Menurut Aidil, kemenangan itu juga membuktikan pemainnya mampu menterjemahkan perancangan taktikal dengan persembahan berkualiti ketika berdepan lawan yang mengamalkan corak berintensiti tinggi.
“Kalau kita lihat perlawanan ini, kedua-dua bermain dengan gaya intensiti tinggi, kita beri tekanan kepada mereka seperti mana kita turut ditekan ketika bermain di Korea sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Kuching City menewaskan Gangwon 2-0 hasil dua jaringan Safawi Rasid pada minit ke-12 dan ke-19, sekali gus menghidupkan kembali peluang mereka untuk mara ke pusingan kalah mati ACL2.
“Bagi saya kumpulan ini masih lagi terbuka kerana kita ada baki dua perlawanan lagi. Tidak mustahil untuk kita layak ke aksi seterusnya, kita tidak boleh putus asa dan kena buat yang terbaik dalam perlawanan seterusnya,” katanya.
The Cats kini naik ke tangga ketiga Kumpulan H, berkongsi empat mata dengan Gangwon FC dan perlu memastikan mata maksimum pada perlawanan dengan Phnom Penh Crown pada 26 November ini dan Kitchee SC, bulan depan.
Pemain kelahiran Terengganu itu juga menyifatkan dua gol itu adalah detik paling sempurna buatnya selepas kembali dipanggil untuk menyertai Harimau Malaya untuk mengharungi persahabatan bertemu China dan Yemen pada 14 dan 17 November ini.
“Bukan mudah bermain ACL 2, mungkin gol itu salah satu jaringan tercantik dalam karier saya, jadi ia bermakna untuk saya serta pasukan. Sudah tentu ini salah satu pembakar semangat untuk saya teruskan momentum bersama skuad kebangsaan,” katanya. – UTUSAN
KAPSYEN
SAFAWI RASID











