KUALA LUMPUR: Perlawanan akhir Piala Malaysia menemukan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di TM Stadium Nasional malam ini menjanjikan debaran yang luar biasa.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ribuan penyokong dari kedua-dua kem membanjiri lokasi seawal pukul 5 petang membawa semangat kesukanan tinggi tanpa mengira latar belakang.
Pelakon tempatan, Nadia Brian, 34, menyifatkan perlawanan akhir itu bukan sahaja medan penentuan juara tetapi medium penting dalam menyatukan rakyat jelata.
“Sukan bola sepak memainkan peranan dalam menyatupadukan kita semua, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
“Saya berharap agar tiada sebarang pergaduhan berlaku pada malam ini. Kita semua rakyat Malaysia, dan adat bertanding, pasti ada yang kalah dan menang.
“Saya meramalkan kemenangan selesa 4-0 berpihak kepada JDT bersandarkan kualiti tinggi yang dimiliki barisan pemain skuad tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, aura keterujaan turut dirasai oleh kem penyokong Kuching City FC yang melakar sejarah mara ke pentas akhir piala buat julung kalinya.
Iltizam Shamsul, 39, biarpun kini menetap di Johor Bahru yang merupakan kubu JDT, kesetiaannya terhadap pasukan negeri kelahirannya kekal utuh.
Katanya, beliau sanggup memandu dari selatan tanah air bersama anak-anak demi memberikan sokongan moral kepada pasukannya.
“Kos perbelanjaan sekitar RM500 yang merangkumi perbelanjaan petrol, tol serta tiket perlawanan dan memutuskan untuk bermalam di ibu kota sebelum bertolak pulang keesokan harinya.
“Saya tetap yakin pasukan Kuching boleh menang malam ini dengan keputusan tipis 2-1,” katanya.
Kemeriahan dan keharmonian di luar stadium membuktikan bahawa sukan nombor satu negara ini terus utuh sebagai ejen perpaduan yang meraikan semangat kesukanan sejati tatkala kedua-dua pasukan bersedia memburu kejuaraan. – UTUSAN










