Menteri Sabah cedera kepala akibat tergelincir di tandas KLIA

Menteri Sabah cedera kepala akibat tergelincir di tandas KLIA

JAMAWI JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar mengalami kecederaan di kepala sehingga memerlukan beberapa jahitan selepas tergelincir di tandas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Jamawi berkata, kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu orang kenamaan (VIP) lapangan terbang berkenaan.

Menurutnya, keadaan lantai yang licin menyebabkan beliau hilang imbangan sebelum terjatuh dan kepalanya terhantuk pada lantai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya, ia kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di kawasan menunggu VIP KLIA.

“Lantai tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhantuk pada lantai,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Jamawi berkata, insiden itu turut menimbulkan kebimbangan beberapa kenalannya yang terserempak dengannya dalam keadaan kepala berbalut tuala berlumuran darah.

Katanya, beliau kemudian menerima rawatan di Menara Medical Clinics KLIA dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan perubatan yang membantu merawat serta menjahit luka di kepalanya.

Susulan kejadian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkenaan meminta Malaysia Airports memberi perhatian terhadap aspek keselamatan pengguna, khususnya keadaan lantai tandas dan akses laluan kecemasan menuju ke klinik berhampiran.

Beliau turut mencadangkan supaya kakitangan lapangan terbang dilengkapi latihan bantuan kecemasan bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Jamawi yang baru selesai mengadakan lawatan kerja di Brasilia, Brazil dijadualkan berlepas ke Kota Kinabalu pada pukul 1.05 tengah hari tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini