PETALING JAYA: Hasrat Kuching City untuk memulakan kempen sulung Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dengan keputusan positif tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada wakil Kemboja, Phnom Penh Crown FC, sebentar tadi.
Kekalahan itu hadir menerusi gol pada masa kecederaan di Stadium Morodok Techo menyaksikan The Cats pulang dengan tangan kosong.
Skuad The Cats yang membuat penampilan pertama di pentas Asia bermula dengan penuh semangat dan hampir membuka jaringan seawal minit ke-12, namun tandukan Jerome Etame hasil hantaran lintang Dylan Wenzel-Halls gagal menemui sasaran.
Seminit kemudian, Phnom Penh Crown memberikan amaran awal apabila Choun Chanchav melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Pasukan tuan rumah terus mengasak dan mencipta beberapa peluang berbahaya menerusi Valerii Hryshyn dan Guytho Mijland, namun Haziq sekali lagi menjadi penyelamat Kuching City dengan beberapa aksi tangkas di hadapan gawang.
Kuching City turut memiliki peluang terbaik menjelang tamat babak pertama, namun rembatan kaki kiri Ronald Ngah Wanja sedikit melepasi palang ketika kedua-dua pasukan masih buntu mencari jaringan.
Bersambung babak kedua, usaha Phnom Penh Crown akhirnya membuahkan hasil apabila Moses Dyer meledak gol pembukaan pada minit ke-55 hasil umpanan kemas Mijland untuk menggembirakan penyokong tuan rumah.
Ketinggalan satu gol memaksa pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Ramadhan Saifullah Usman dan Ajdin Mujagic bagi menambah sengat jentera serangan.
Pertukaran itu memberi impak segera apabila Mujagic berjaya menghidupkan semula harapan The Cats menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-71 selepas memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan leret yang menewaskan penjaga gol, Um Vichet.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Phnom Penh Crown sekali lagi merobek gawang pelawat, kalin ini menerusi tandukkan Dyer hasil sepakan sudut Long Phearath pada masa kecederaan untuk menghadiahkan tiga mata berharga buat wakil Kemboja itu.
Kekalahan tersebut menyaksikan Kuching City memulakan cabaran dalam Kumpulan H dengan langkah kiri, sekali gus meletakkan mereka di bawah tekanan untuk bangkit dalam perlawanan seterusnya bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan berikutnya.-UTUSAN










