MELAKA: Jaringan hatrik Jerome Mpacko Etame muncul hero apabila dua gol peribadinya membantu Kuching City FC menewaskan Melaka FC 3-1 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.
Tiga jaringan Jerome Mpacko pada minit ke-40, 71 dan 87 sudah cukup memastikan pasukan itu memintas Selangor untuk berada di tangga kedua Liga Super mengutip 50 mata manakala skuad Merah Kuning pula dengan 49 mata.
Buat Melaka FC pula kekalahan tersebut sekadar melihat skuad bimbingan jurulatih E. Elavarasan terus menghuni tangga ke-11 dan akan mengharungi perlawanan terakhir Liga Super musim ini menentang Imigresen FC di tempat lawan 15 Mei ini.
Seawal minit ketiga lagi Melaka FC menunjukkan taring apabila Simon Alexander Lyngbo membuat percubaan namun sepakannya meliar keluar.
Susulan itu tuan rumah terus menggandakan asakan dan enam minit selepas itu giliran Dino Kalesic pula meledakkan sepakan namun tidak menepati sasaran.
Pada minit ke-13 Kuching FC pula nyaris-nyaris membuka tirai jaringan namun percubaan Wanja Ronald Ngam meledakkan sepakan kencang namun tersasar keluar.
Gol pembukaan akhirnya menjadi milik Kuching FC apabila Jerome Mpacko Etame melakukan sepakan kencang dalam keadaan kelam kabut pintu gol tuan rumah menewaskan penjaga gol, Samuel Jacob pada minit ke-40.
Dua minit babak kedua bermula Melaka FC berjaya mengikat kedudukan 1-1 apabila pemain gentian Muhammad Umar Hakem Suhar mencipa jaringan menewaskan penjaga gol pelawat, Muhammad Haziq Nadzli.
Gol berpunca dari larian dari sebelah kanan pemain skuad kebangsaan bawah 23 tahun memintas seorang pemain pertahanan skuad Bumi Kenyalang sebelum melepaskan rembatan menggegar jaring.
Pada minit ke-71, Jerome Mpacko menambah jaringan kedua peribadinya bagi membolehkan Kuching FC mendahului 2-1 menerusi tandukan cantik menewaskan Samuel Jacob.
Tiga minit sebelum tamat Jerome Mpacko mencipta jaringan hatrik apabila mudah menolak masuk hantaran Gabriel Nistelrooy Tamin untuk kedudukan 3-1. – UTUSAN










