Klasifikasi umur bukan lesen tayang kandungan tanpa batasan

Klasifikasi umur bukan lesen tayang kandungan tanpa batasan

TEO NIE CHING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kebenaran menayangkan filem kategori 18 tanpa pemotongan babak tertentu tertakluk kepada penguatkuasaan klasifikasi umur penonton yang ketat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pendekatan itu merupakan perubahan kaedah kawalan daripada pemotongan babak kepada pengelasan berdasarkan kesesuaian umur penonton, selaras dengan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF) 2024 yang berkuat kuasa.

“Perlu ditegaskan bahawa filem kategori 18 hanya boleh ditonton oleh individu berumur 18 tahun dan ke atas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa sama, klasifikasi umur bukanlah lesen atau kebenaran untuk menayangkan sebarang kandungan tanpa batasan.

“Lembaga Penapis Filem (LPF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetap menilai filem berdasarkan empat aspek keutamaan, iaitu keselamatan dan ketenteraman awam; keagamaan; sosiobudaya; serta ketertiban dan ketatasusilaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai rasional klasifikasi PG 18 tahun ke atas tidak lagi ditapis dalam industri perfileman Malaysia selepas ini, serta hala tuju Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) susulan perubahan dasar itu.

Nie Ching berkata, kandungan yang melanggar garis panduan penapisan termasuk yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat tetap tertakluk kepada tindakan sewajarnya.

Katanya, langkah di bawah Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan GPPF 2024 itu bertujuan mengimbangi keperluan melindungi masyarakat dengan menghormati keutuhan sesebuah karya tempatan.

“Perincian klasifikasi umur itu digariskan berdasarkan tiga tujuan utama iaitu membolehkan orang dewasa membuat pilihan bijak mengenai filem yang ingin ditonton, mendidik serta melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan tidak sesuai, selain meletakkan tanggungjawab membimbing kepada ibu bapa,” katanya.

Menjawab soalan tambahan mengenai rasional perubahan polisi itu, beliau mengambil contoh isu pemotongan babak filem tempatan Tiger Stripes arahan Amanda Nell Eu.

Beliau berkata, filem itu mencipta sejarah apabila meraih anugerah utama pada Festival Filem Cannes pada 2023 dan dicalonkan mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscar), namun versi tayangan pawagam domestik sebelum ini terpaksa melalui pemotongan adegan.

“Sangat pelik kalau sebuah filem boleh mewakili Malaysia di persada antarabangsa, tetapi penonton Malaysia tidak dapat menonton filem yang lengkap di pawagam kita sendiri.

“Saya percaya LPF akan melaksanakan tanggungjawab memastikan filem yang ditayangkan di pawagam Malaysia tidak mencetuskan apa-apa kontroversi dan menjaga keharmonian masyarakat, tetapi biarlah kita juga sama-sama menghormati karya yang dihasilkan oleh industri tempatan,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini