LOS ANGELES: Kenderaan ikonik Batmobile yang ditampilkan dalam filem blokbuster Batman Returns arahan Tim Burton pada 1992 dijangka dilelong pada harga sehingga AS$7 juta (RM28.5 juta).
Firma lelongan yang berpangkalan di Los Angeles, Julien’s Auctions memaklumkan bahawa jentera itu berpotensi besar untuk memecahkan rekod harga tertinggi pernah dicatatkan bagi sesebuah Batmobile yang dilelong.
Majlis lelongan berprestij yang dinamakan The Ultimate Batmobile Auction itu dijadualkan berlangsung pada 23 November depan.
Kenderaan itu pernah dipandu oleh pelakon terkenal, Michael Keaton.
Pihak Julien’s Auctions menyatakan bahawa rekod tertinggi sebelum ini dipegang oleh jentera Batmobile keluaran 1966 rekaan George Barris. Ketika itu, kenderaan tersebut dijual pada nilai AS$4.6 juta (RM18.7 juta) pada 2013.
Dianggarkan bernilai antara AS5juta(RM20.3juta)hinggaAS7 juta, jentera yang akan dilelong itu mempunyai panjang sekitar 5.98 meter dan dibina berasaskan gabungan kerangka dua buah model kereta Chevrolet Impala.
Menurut Julien’s Auctions, jentera berkenaan merupakan kenderaan utama yang digunakan secara meluas dalam penggambaran filem itu dan dipadankan secara khusus dalam sebahagian besar babak pemanduan skrin.
“Jentera ini telah memahat tempatnya yang tersendiri dalam sejarah Hollywood sebagai kenderaan yang mendefinisikan era baharu watak legenda Batman di layar perak,” menurut kenyataan firma lelongan berkenaan.
Kenyataan itu turut menambah bahawa penampilan cemerlang Keaton dalam karya ikonik arahan pengarah berwawasan itu telah merubah landskap filem Batman dan komik buat selama-lamanya. – AGENSI











